Kegilaan Iqram Dinzly Jadi Perhatian

MEMBIARKAN dirinya menjadi papan sasaran ‘peluru’ kecaman pengguna media sosial bukan suatu situasi yang diinginkan oleh pemilik akaun Instagram yang menggunakan nama profil, DR. Princhiqy Dinzly.

Disebabkan kecenderungan melakukan penstriman video secara langsung (live video) dan gambar yang dilihat seperti melawan arus norma kehidupan sebagai seorang selebriti, pemilik nama sebenar, Muhammad Iqram Dinzly Muhammad Saipuddin dihujani kata-kata kejian sehingga ada yang menyelarnya sebagai kurang siuman.

Disebabkan kegilaannya yang seperti tidak menunjukkan tanda-tanda untuk berhenti tersebut, Kosmo! terpanggil mengatur sebuah pertemuan dengan pelakon filem Evolusi KL Drift itu di kediamannya yang terletak di Taman Seri Tahan, Ipoh, Perak.

Melihat secara depan mata, Iqram tampak biasa seperti individu normal yang masih menguruskan keperluan peribadinya sendiri, termasuk melakukan kerja rumah seperti membersihkan persekitaran halaman dan memasak.

Gerak-gerinya tidak mempamerkan sebarang tanda seakan-akan dia menghidapi masalah mental yang bermain di minda ramai kerana segalanya kelihatan normal. Semuanya jauh berbeza berbanding tindakannya menjadikan platform media sosial sebagai medium untuk mengekspresikan luahan.

Dikatakan berkelakuan pelik, jelik dan keterlaluan, peminat pantas menghukum Iqram serta menuduhnya tidak waras sehingga ada dalam kalangan pengguna media sosial memanggilnya ‘orang gila’

Tidak dinafikan, Iqram mengakui tersinggung dengan panggilan sebegitu. Dia bagaimanapun enggan mengambil serius terhadap perkara tersebut apatah lagi menghentikan rutin memuat live video di Instagram.

Jika benar khalayak prihatin terhadap tahap kesihatannya, tidak perlu dia ditegur atau mengeluarkan kata-kata kesat di media sosial. Malah, Iqram meminta individu yang bersuara lantang di media sosial bertemu sendiri dan meluahkan pandangan terhadapnya secara bersemuka.

“Tidak perlu ingin tunjuk berani di media sosial. Sekiranya mereka bimbang dan prihatin, datang menziarahi saya sekeluarga dan luahkan segala nasihat kalian. Kalian hanya berani melontarkan kata-kata menggunakan papan kekunci namun untuk datang sendiri, saya yakin kalian tidak akan berbuat demikian.

“Saya tidak pernah mengganggu hidup orang. Apa yang dipaparkan menerusi live video berlaku di platform alam maya dan ia terpulang kepada penerimaan masyarakat jika mahu menuduh saya gila.

“Sebelum ini saya sudah menjelaskan banyak kali yang saya tidak mahu lagi berlakon bawah arahan orang. Jadi, apa salahnya berlakon mengikut rentak dan acuan saya sendiri tanpa melibatkan orang lain. Netizen perlu bijak membezakan siapa diri saya yang sebenar, antara realiti dan alam maya (sosial media),” jelasnya panjang lebar.

Media sosial
Mengulas mengenai tindakan melakukan live video dengan menulis kalimah Allah pada dahinya baru-baru ini yang secara tidak langsung menimbulkan kemarahan kalangan pengguna media sosial, Iqram ada alasan tersendiri. Kejadian tersebut juga mengundang lebih banyak kutukan terhadapnya. Dia dikecam sebagai tidak sensitif, bahkan menghina agama Islam.

Kata Iqram, tindakan tersebut merupakan ekspresi pandangan dan sindirannya kepada khalayak.

Meskipun mengundang kritikan sehingga terpaksa makan hati dan marah dengan situasi tersebut, Iqram bagaimanapun tetap menjadikan media sosial sebagai platform buatnya meluahkan pandangan tentang setiap yang berlaku di sekelilingnya.

“Tidak menjadi masalah sekiranya khalayak berasa marah kerana setiap kenyataan mereka akan saya balas dengan sindiran. Sekiranya mereka berasa tersinggung, saya ingin soal semula, siapa mencerobohi ‘wilayah’ siapa?

“Sekiranya mereka terkesan dengan kenyataan sebegitu, jadi bagaimana dengan perasaan saya yang diperlakukan sedemikian. Kelihatan mudah mengeluarkan kata-kata kesat kepada individu lain, tetapi sekiranya berlaku ke batang hidung sendiri, bagaimana rasanya,” respons Iqram.

Di sebalik apa yang berlaku, sesiapapun mudah mentafsir Iqram sebagai memburu perhatian di media sosial sementelah platform berkenaan paling mudah mencipta kontroversi. Dari sudut pandangan lain, tindakan Iqram turut kelihatan seperti seorang YouTuber yang cuba menyampai mesej sosial kepada masyarakat.

Anak saya tidak gila – Ibu
Kunjungan Kosmo! ke kediaman keluarga Iqram turut disambut baik oleh ibunya, Lalitol Akmar Mohamed Shaffie, 68. Tidak seperti masyarakat luar yang dengan mudah melabelkan anaknya sebagai gila atau kurang waras, Lalitol Akmar tidak risau dengan persepsi yang harus ditelan ketika ini.

“Dia memilih untuk berkecimpung dalam dunia seni, di mana dia sememangnya tidak boleh lari daripada cacian dan makian. Dari hujung rambut sampai hujung kaki, orang akan masih berkata tentang dirinya. 
“Saya bersyukur kerana sekarang ini, dia sentiasa berada dekat bersama saya. Dia ingin buat apapun, buatlah asalkan tidak menyimpang daripada ajaran Islam. Saya sebagai ibu lebih mengerti sikapnya luar dan dalam,” jelas Lalitol Akmar.

Ditanya, sama ada Iqram mempunyai sejarah sakit mental atau berkaitan, Lalitol Akmar hanya mampu tertawa sambil menegaskan, anaknya masih siuman. Dia juga sudah ‘masak’ dengan tingkah laku Iqram yang sukar dijangka. 
“Hari-hari saya tengok dia di depan mata. Dia banyak membantu saya memasak, mengemas dan makan masakan saya. Dia okey sahaja, usah risau.

“Kebanyakan masa dia buat video atau live video di Instagram, saya ada di rumah dan tengok dia buat aksi yang hangat diperkatakan orang ramai. Adik-beradik dan keluarga rapat pun ada. Kami tengok pun tergelak sama. Kadang-kadang, kalau terlalu keterlaluan saya nasihatkan dia juga supaya jangan buat dan dia tidak membantah,” kata Lalitol Akmar lagi.

Katanya lagi, dia tidak terkejut dengan perubahan perbuatan atau fesyen Iqram ketika mula-mula dia menjadi bualan rakyat Malaysia. Pada hemat Lalitol Akmar, Iqram masih Iqram yang dulu cuma sekarang dia sudah tidak berminat lagi untuk berlakon dan semakin matang dari segi pemikiran.

“Selepas bapanya, Allahyarham Muhammad Saipuddin Ahmad Said meninggal dunia, memang diakui, ia memberi kesan terhadap hidupnya. Bukan saja dia, saya juga terkesan. Dia berubah dari segi berpakaian dan perbuatan, tiada salahnya kerana dia masih seorang anak dan Muslim yang baik.

“Sebagai seorang ibu, saya sentiasa memberi sokongan kepadanya. Alhamdulillah, sekarang dia tinggal bersama saya dan amat terlindung dengan keberadaannya di sini. Kita doakan sahaja dia tidak apa-apa. Itu lebih baik daripada memberi komen tanpa usul periksa di laman sosial,” tutup Lalitol Akmar yang sempat menjamu kunjungan kru Kosmo! dengan hidangan nasi vanggey sebelum pulang ke Kuala Lumpur.

Menafikan dirinya sebagai pemburu perhatian dan sikap ingin menimbulkan minat dalam khalayak memperkatakannya tentang, Iqram Dinzly mengakui dia masih waras dan hanya menjadikan media sosial sebagai platform untuknya meluahkan pandangan terhadap kejadian berlaku di persekitarannya.-Kosmo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.