Jawatan PM Sementara Kerja Gila Untuk Menipu Rakyat, Kata Bekas Pengasas PPBM

KUALA LUMPUR – Bekas pengasas Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Anina Saadudin tampil mengkritik langkah mewujudkan jawatan Perdana Menteri interim (sementara) yang dikatakan bakal diberi kepada Tun Dr Mahathir Mohamad sekiranya pembangkang memenangi pilihan raya umum ke-14 nanti.

Anina yang kini bergerak atas platform NGO, Empirical Malaysia berkata, langkah tersebut adalah satu bentuk penipuan terang-terangan kepada rakyat supaya mengundi blok pembangkang Pakatan Harapan semasa pilihan raya nanti.

“Langkah ini dilihat satu penipuan yang dilakukan secara terang-terangan kepada rakyat Malaysia, mana tidaknya, meletak seseorang calon Perdana Menteri kemudian apabila menang kemudian digantikan dengan individu yang sudah dua kali dihukum penjara.

“Ini satu kerja gila yang tidak pernah dilakukan, malah ini juga satu rekod dunia yang pernah dilakukan oleh mana-mana parti pembangkang dalam dunia,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Beliau yang sebelum ini juga disingkir dari PPBM menyifatkan pembangkang sebagai ketandusan pemimpin pelapis sehinggakan terpaksa mencalonkan individu yang pernah menjadi perdana menteri selama 22 tahun.

“Secara jelas sebenarnya kita lihat pembangkang kini berada pada fasa ketandusan pemimpin yang boleh diharapkan untuk memimpin negara, mereka tidak ada tawaran yang segar atau ‘refreshing’ kepada rakyat.

“Jika ini tawarannya, meletak Perdana Menteri interim, mungkin sudah tiba untuk rakyat berfikir dua kali,” ujarnya lagi.

Dr Mahathir sebelum ini berkata, cadangan untuknya menjadi calon perdana menteri seandainya Pakatan Harapan (PH) memenangi pilihan raya kelak hanya akan terlaksana sekiranya keempat-empat komponen gabungan itu menyetujuinya.

Beliau yang juga pengerusi PH berkata, sekiranya terdapat keputusan sepakat antara PPBM, PKR, PAN dan DAP, barulah ia boleh digunakan dalam manifesto pilihan raya nanti. – MalaysiaGazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.