Paip Air Pecah Tak Jejas Bekalan Di Besut – SATU

JERTIH – Kejadian paip air utama pecah akibat banjir di Sungai Jertih di sini, petang tadi, tidak akan menjejaskan bekalan air kepada pengguna di Besut.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Terengganu (SATU), Ir Atemin Sulong, berkata paip air bersih bersaiz 900 milimiter (mm) di Loji Bukit Bunga di sini, pecah akibat tiang penyokong paip di bahagian tengah patah dirempuh balak yang dihanyutkan banjir.

 

Beliau berkata, kejadian itu tidak akan menjejaskan bekalan air kepada penduduk di Besut dan pihaknya sudah menggunakan paip alternatif bersaiz 600mm bagi menyalurkan air ke kawasan bekalan.

 

“Kejadian ini tidak akan menyebabkan gangguan bekalan air, sebaliknya pengguna mungkin akan berdepan masalah tekanan air sedikit rendah berbanding biasa.

 

“Ketika ini sumber air yang disalurkan ke paip yang terjejas itu sudah dihentikan bagi mengelak pembaziran,” katanya.

 

Beliau berkata, jika sekali pun tiada paip alternatif untuk membekalkan air kepada pengguna, hanya sebahagian iaitu 25 peratus atau kira-kira 8,000 pengguna dari keseluruhan lebih 30,000 pengguna di Besut akan mengalami gangguan bekalan.

 

“Tetapi Alhamdulillah kita dapat menggunakan paip alternatif bagi mengatasi masalah ini. Bagaimanapun kerja pembaikan belum dapat dilaksanakan berikutan banjir dan arus kuat, selain hujan lebat,” katanya.-BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.