Banjir: Sembilan Loji Rawatan Air Kelantan Belum Beroperasi Sepenuhnya

KUALA LUMPUR – Sembilan buah Loji Rawatan Air (LRA) di Kelantan yang terjejas akibat banjir belum dapat beroperasi sepenuhnya, kata Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

SPAN dalam kenyataan pada Isnin berkata daripada jumlah itu, lima buah LRA tidak dapat beroperasi disebabkan tiada bekalan elektrik manakala empat yang lain berpunca daripada kerosakan teknikal.

“TNB (Tenaga Nasional Berhad) sedang berusaha membaik pulih pencawang elektrik yang menyalurkan bekalan elektrik ke loji yang terjejas, selain beberapa loji bergantung kepada set jana kuasa bergerak yang dibekalkan TNB,” katanya.

Menurutnya keadaan itu mengakibatkan sejumlah 17,266 akaun pengguna daripada keseluruhan 223,300 akaun di negeri berkenaan belum mendapat bekalan air paip.

Suruhanjaya itu berkata selain sembilan LRA yang dinyatakan, sebuah lagi loji iaitu LRA Merbau Condong di jajahan Machang pula hanya separa beroperasi.

Menurut SPAN, kesemua sembilan operator di negeri lain yang tidak terjejas teruk akibat banjir turut menghantar bantuan kepada Syarikat Air Kelantan Sdn Bhd untuk membaik pulih loji dan sistem agihan di Kelantan serta bantuan kepada pengguna.

Sementara itu, SPAN berkata keadaan bekalan air di Pahang hampir pulih, namun masih terdapat 7,234 akaun pengguna daripada keseluruhan 378,800 akaun di negeri berkenaan yang masih belum memperoleh bekalan air.

– BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.