Maszlee Salahkan Media Isu 1MDB Dalam Subjek Sejarah

KUALA LUMPUR – Media sekali lagi dipersalahkan dalam melaporkan kenyataan Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik dengan mendakwa laporan media adalah tidak tepat berhubung kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akan dimasukkan dalam mata pelajaran Sejarah di sekolah.

Setiausaha Akhbarnya, Shahrul Aman Mohd. Saari berkata, Maszlee tidak sama sekali menyebut kes 1MDB akan dimasukkan dalam mata pelajaran Sejarah di sekolah, sebaliknya Maszlee hanya menyebut bahawa isu 1MDB akan dimasukkan dalam Sejarah Malaysia.

“Merujuk kepada laporan media yang memetik jawapan lisan Menteri Pendidikan, yang disampaikan di Dewan Rakyat semalam, 3 Disember 2018 ingin ditegaskan bahawa Dr. Maszlee tidak sama sekali menyebut 1MDB akan dimasukkan ke dalam silibus subjek Sejarah Malaysia.

“Semasa menjawab soalan tambahan YB Pontian hanya menyebut bahawa isu 1MDB akan dimasukkan dalam Sejarah Malaysia,” kata Shahrul Aman.

Justeru beliau meminta kerja sama media agar membuat pembetulan bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

Dalam satu kenyataan yang diedarkan di Parlimen, Shahrul Aman berkata, sama ada isu 1MDB akan dimasukkan ke dalam silibus terserah kepada Jawatankuasa Kajian Kurikulum Kementerian Pendidikan.

Semalam, Maszlee dilaporkan berkata isu berkaitan skandal 1MDB dan penyelewengan membabitkan ahli politik akan dimasukkan sebagai sukatan pelajaran Sejarah di sekolah, ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat.

Ahmad ingin mengetahui fakta sejarah yang menjadi kontroversi dalam negara dan garis masa ditetapkan bagi membolehkannya dijadikan sebahagian daripada pengisian mata pelajaran.

Dalam kenyataan yang sama, Shahrul Aman berkata, usaha memperkasakan wacana intelektual, kementerian tiada halangan sekiranya isu 1MDB dijadikan sebagai kajian kes di institusi pengajian tinggi (IPT) memandangkan 1MDB sebagai satu isu yang mendapat perhatian banyak pihak.

“Daripada segi tadbir urus baik dan akauntabiliti serta budaya berintegriti,” katanya. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.