Usaha Tangani Penagihan Dadah Perlu Pendekatan Holistik – PM

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, usaha mengatasi masalah penagihan dadah dalam kalangan belia perlu dilakukan menerusi pendekatan holistik tanpa hanya melalui penguatkuasaan undang-undang yang tegas semata-mata.

Menurut Perdana Menteri, malah Kabinet sendiri mengakui pendekatan menerusi undang-undang yang dilaksanakan sejak sekian lama mungkin bukan kaedah yang terbaik dalam menangani isu ini.

Sebab itu, kata beliau, Agenda Sosial Negara yang sedang dirangka kerajaan akan memasukkan inisiatif mengatasi masalah penagihan dadah dan isu melibatkan belia yang lain menerusi pendekatan inklusif dengan memastikan generasi muda mempunyai pekerjaan.

“Menerusi cara itu, generasi muda akan pastikan kehidupan mereka bermakna dan bukannya merasakan diri kosong sehingga membinasakan diri sebagai jalan keluar kepada permasalahan dihadapi.

“Saya bersetuju dengan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin bahawa kita perlu mengambil pendekatan lebih holistik dalam menangani isu membabitkan generasi muda,” katanya ketika berucap meras­mikan Wacana Belia Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIYD) 2017 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini semalam.

Yang turut hadir Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir; Pengerusi KLIYD, Senator Khairul Azwan Harun dan Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Utusan Malaysia sebelum ini secara konsisten mendedahkan isu-isu berkaitan dadah menerusi siri Laporan Khas dan berita utama selain pernah menjadi penganjur bersama Forum Jihad Memerangi Dadah di Dewan Besar Utusan Melayu Jun lalu.

Malah laporan Mingguan Malaysia semalam juga memaparkan isu berkenaan apabila mengetengahkan isu dadah berbahaya jenis ‘Zombie’ yang mula diedarkan di kelab-kelab malam di Lembah Klang.

Menurut Perdana Menteri, sebab itu, daripada memencilkan penagih, sepatutnya mereka diintegrasikan dengan dunia luar dan memberikan mereka peluang pekerjaan.

Justeru kata Najib, peluang pekerjaan kepada golongan belia harus dicipta secara berterusan kerana perkara itu penting untuk jaminan masa hadapan negara.

“Kita perlu pastikan pendidikan dan kemahiran yang sepatutnya diberikan kepada generasi muda dan dalam hal ini kita tahu Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) adalah mustahak dalam melahirkan belia yang berkemahiran tinggi dan kompetitif,” ujarnya. – Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.