Tiga Beranak Dikebumikan Satu Liang

SITIAWAN – Tiga beranak yang maut dalam nahas di Kilometer 21 Jalan Sitiawan-Teluk Intan dekat Kampung Kayan di sini, awal pagi tadi, selamat dikebumikan dalam satu liang di Tanah Perkuburan Islam Batu 9 Lekir.

Tiga anak lelaki pasangan itu, Muhammad Daris Wafiy,10; Muhammad Daris Rayyan, 9; dan Muhammad Daris Amsyar, 5; yang menjadi yatim piatu susulan tragedi itu, turut berada di tanah perkuburan itu.

Jenazah Sairulazuwan Nadzim, 37; isterinya, Azilina Abdul Aziz, 37, dan anak bongsu mereka, Muhammad Daris Iffat, yang baru berusia tiga bulan tiba di tanah perkuburan kira-kira jam 2.30 petang, sebelum pengebumian selesai jam 4 petang, lapor Antarapos.

Sebelum itu, jenazah tiga mangsa dibawa keluar dari Unit Forensik Hospital Seri Manjung kira-kira jam 12.30 tengah hari selepas selesai proses bedah siasat.

Jenazah kemudian dibawa dengan van jenazah ke Kampung Batu 9 Lekir sebelum disolatkan di rumah Sairulazuwan kira-kira jam 1.20 tengah hari.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi itu, Toyota Wish yang dinaiki tiga sekeluarga itu terbabas ke dalam parit sedalam 2.5 meter sebelum terbalik.

Mereka dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Sungai Buloh, Selangor, dan baru 15 minit keluar dari rumah keluarga Sairulazuwan di Lekir.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.