TH Beli Hospital Pakar An-Nur Hasanah

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini memeterai perjanjian jual beli hartanah bernilai RM135 juta dengan Bangi Gateway Medical Sdn Bhd.

Ia bagi pembelian bangunan Hospital Pakar An-Nur Hasanah (HPAN) di Bangi Gateway, Bandar Baru Bangi, di kawasan seluas 0.924 hektar.

Bangunan hospital tujuh tingkat itu boleh memuatkan 200 katil pesakit pada satu-satu masa dan turut dilengkapi parkir kenderaan mencukupi.

Pengerusi TH, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, berkata inisiatif TH itu diharap dapat menyumbang pada peningkatan dan kemajuan industri perkhidmatan perubatan negara.

Selain itu, katanya, ia satu lagi inisiatif memperkasakan Agenda Pembangunan Bumiputera TH dalam usaha meningkatkan pembabitan golongan Bumiputera Muslim dalam sektor kesihatan dan perubatan negara.

“Hospital ini juga turut mendukung inisiatif kerajaan dalam menyediakan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti dengan melaksanakan industri pelancongan kesihatan yang menjadi sumber pendapatan negara, termasuklah menyediakan ‘end-to-end service’ kepada pelancong kesihatan ke Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pemeteraian perjanjian jual beli hospital itu, di sini.

Pada majlis sama, TH turut memeterai perjanjian pajakan bangunan HPAN dengan Medic lG Holdings Sdn Bhd untuk tempoh 21 tahun.

Perjanjian jual beli dan pajakan itu disempurnakan Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekulif TH, Datuk Seri Johan Abdullah; Pengarah Bangi Gateway Medical, Datuk A Rahman Safar dan Pengerusi Medic lG Holdings, Mohd Adam Mohd Said.

Yang turut hadir, Pengarah Urusan Medic IG Holdings, Shaharom Md Shariff.

Abdul Azeez berkata, pelaburan TH itu diunjur menjana pulangan berterusan dengan kadar purata pulangan bersih pelaburan 7.5% setahun. HPAN dijangka beroperasi hujung 2018.

Sementara itu, Shaharom berkata, HPAN direka bentuk berkonsepkan hotel bagi memberikan suasana lebih tenang dan menyegarkan meliputi reka bentuk dalaman dan bilik yang lebih luas.

HPAN adalah bangunan hospital ketiga dimiliki TH selepas Columbia Asia Hospital, Seremban 2, Negeri Sembilan pada 2005 dan Columbia Asia Hospital, Seksyen 13, Pelallng Jaya, Selangor pada 2015. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.