Pengarah Hormat Prinsip kerja Izzue Islam

KUALA LUMPUR: Pelakon, Izzue Islam bersyukur, rezeki dalam dunia lakonan tetap berpihak meskipun sudah empat tahun memegang prinsip untuk tidak bersentuhan dengan gandingannya ketika penggambaran.

Pelakon berusia 27 tahun itu berkata, pendekatan itu diambil selepas mendirikan rumah tangga dengan Awin Nurin pada 2 Jun 2013 bagi mengelak daripada menimbulkan fitnah yang mungkin menggugat kebahagiaan mereka.

“Sejak mengeluarkan kenyataan untuk tidak bersentuhan dengan pelakon wanita, rezeki saya tetap terbuka luas. Alhamdulillah, penerbit dan pengarah sudah sedia maklum dengan syarat yang saya tetapkan.

“Mereka menghormati pendirian saya, malah sentiasa berbincang untuk mencari pendekatan terbaik jika terpaksa melakonkan babak romantik. Setiap pelakon mempunyai prinsip tersendiri dan ini cara saya untuk tidak mensia-siakan kepercayaan isteri, keluarga serta peminat,” katanya.

Anggota kumpulan Forteen itu berkata, dia baru menyelesaikan penggambaran filem XXRay 3 arahan Aziz M Osman yang menjalani penggambaran di Jordan dan Malaysia, selain bakal tampil dengan single terbaru berjudul Solo.

Izzue sebelum ini, pernah menghasilkan dua single solo iaitu Sahabat dan Bimbang. Izzue berkata, filem terbitan syarikat produksi Simpang 3 Production itu membawa kelainan apabila dia perlu belajar seni mempertahankan diri dan menguasai teknik perlumbaan kereta.

“Saya bertuah apabila terus mendapat kepercayaan penerbit dan pengarah untuk membawakan pelbagai karakter. Mungkin ada yang menganggap wajah saya terlalu jambu, tetapi saya pernah diberikan watak antagonis.

“Cuma ada peminat tidak suka jika saya bawa watak gelap. Bagi saya, jika peminat membenci, itu bermakna lakonan saya menjadi. Sebagai pelakon, saya perlu membuktikan mampu membawa pelbagai watak dan tidak hanya terikat dengan karakter tertentu,” katanya.-Bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!