Video: RM1.4 Juta Lesap Dalam Rompakan Di R&R Tapah

IPOH 3 Dis. – Empat ejen jual beli emas berputih mata selepas wang tunai berjumlah RM1.4 juta yang disimpan dalam kotak Milo dan air mineral dilarikan lima perompak bersenjatakan dua pucuk pistol dan tukul besi di kawasan rehat dan rawat (R&R) Tapah arah selatan, malam tadi.

 

Kejadian berlaku kira-kira pukul 9.15 malam ketika mangsa yang terdiri daripada empat lelaki berusia 20 hingga 30 tahun berhenti di hentian berkenaan untuk membeli makanan.

 

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Som Sak Din Keliaw berkata, semasa dua daripada lelaki itu keluar membeli makanan manakala dua lagi rakan mereka menunggu di dalam kereta, dua buah kenderaan jenis Honda Civic dan Toyota Vios bertindak mengepung kereta mangsa.

 

Menurutnya, kesemua suspek tersebut memakai topeng dan topi keledar dengan salah seorang daripada mereka memecahkan cermin sisi dan depan kereta mangsa menggunakan tukul besi.

 

“Suspek mengacukan senjata dipercayai pistol ke arah mangsa sebelum bertindak melarikan kotak Milo dan air mineral yang berisi wang tunai berjumlah RM1.4 juta. Kedua-dua kotak itu diletakkan dalam bonet kereta tersebut.

 

“Kesemua suspek berkenaan kemudiannya melarikan diri ke arah selatan dan usaha mengesan mereka sedang giat dijalankan,” katanya ketika ditemui selepas program Seminar Pencegahan Jenayah yang dirasmikan Ketua Polis negeri, Datuk Osman Salleh di Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara Polis (PLPGU) di sini, semalam.

 

Som Sak memberitahu, kesemua mangsa tersebut dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur untuk membeli emas.

 

Katanya, wang yang dilarikan itu juga adalah wang yang dikutip daripada pelanggan di Pulau Pinang untuk tujuan tersebut.

 

“Mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan mendakwa tidak menyedari kenderaan mereka diekori oleh suspek.

 

“Siasatan awal mendapati, dua buah kereta yang digunakan perompak tersebut menggunakan nombor pendaftaran palsu,” ujarnya.

 

Tambah Som Sak, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 4 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971. – UTUSAN

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.