Tun Mahathir Kena Ingat Pesanan Sendiri Dahulu

KUALA LUMPUR – Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengingatkan semula pesanan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tentang kepentingan untuk mempertahankan presiden seperti yang pernah disebut olehnya pada suatu ketika dahulu.

 

Menurutnya, sewaktu memangku jawatan sebagai pemimpin parti, Mahathir sendiri pernah menekankan ahli dan pimpinan parti itu tentang peranan presiden dalam sesebuah pertubuhan.

 

Hishammuddin memetik ucapan dasar Mahathir pada Perhimpunan Tahunan Pemuda dan Wanita Umno yang berlangsung pada 1 Julai 1976.

 

“Umno tidak wujud untuk pemimpinnya, mereka hanya wujud untuk sementara. Mereka akan pergi dan akan digantikan dengan (pemimpin) yang baharu. Tetapi pemimpin dan kepimpinan adalah penting bagi sesebuah pertubuhan.

 

“Sementara pemimpin tidak perlu dipertahankan kerana semata-mata ia pemimpin, ia juga tidak harus dilemahkan dengan sengaja. Tidak ada kebaikan dan kepimpinan yang lemah, seperti mana tidak ada manfaat daripada pertubuhan yang lemah”.

 

Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, survival parti bukan terletak di tangan ahli atau suara majoriti di dalam sesebuah parti, sebaliknya hanya ditentukan rakyat sendiri.

 

Selain itu, katanya, survival parti juga diukur berdasarkan usaha dilakukan dalam meneruskan perjuangan parti.

 

“Kita kena kerja kuat. Ambil langkah satu persatu dalam satu-satu masa. Yang penting, kita perlu jaga rumah tangga kita sendiri dulu.

 

“Hanya kerana seorang dua (ahli Umno) lantang bersuara, tidak semestinya mereka mewakili suara majoriti dalam parti. Kita ada berjuta ahli, tidak semestinya suara mereka mewakili semua ahli Umno,” katanya.

 

Sementara itu, Hishammuddin menegaskan amalan demokratik dalam Umno masih diteruskan dan tidak pernah pudar seperti yang didakwa sebelum ini.

 

Katanya, ia dapat dibuktikan dengan penerimaan kesemua usul yang diberikan oleh setiap perwakilan dan Umno bahagian setiap kali Perhimpunan Agung Umno berlangsung.

 

Mengulas lanjut, katanya, pada himpunan lalu, pihaknya menerima 738 usul daripada Umno bahagian dan daripada jumlah itu, 513 usul telah dirujuk kepada kementerian-kementerian yang berkaitan.

 

Manakala usul yang diterima tanpa bahas pula berjumlah 225 usul.

 

“Tak ada satu pun usul daripada Umno bahagian yang ditolak. Daripada konvensyen yang diadakan, kami sudah pasti lapan agenda penting. Ia termasuk perpaduan bangsa, kesan fitnah dan politik negatif, permasalahan rakyat serta  kepentingan bagi menangani masalah dalaman.

 

“Jadi, siapa kata Umno tidak demokratik?” katanya.

 

Mengulas lanjut, beliau turut melahirkan kebimbangan terhadap penularan budaya politik negatif menerusi media sosial pada masa kini.

 

Menurut Hishammuddin, penyebaran fitnah yang melibatkan politik negatif memberikan impak serta kesan yang cukup besar bagi parti.

 

Tegasnya, parti itu harus mencari jalan untuk mengeksploitasi kelebihan media sosial dan menggunakannya sebagai platform untuk mengukuhkan perjuangan parti.

 

“Kita kena tolak budaya baharu (trend penyebaran berita berbentuk fitnah) ini. Mereka yang tidak bersalah dan lemah ketahanan imannya akan mudah dieksploitasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.