Suasana Pilu Selubungi Majlis Tahlil Arwah Yus Jambu

SHAH ALAM, 4 Dis — Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah diselubungi suasana pilu ketika majlis tahlil dan bacaan Yassin diadakan sempena pemergian mengejut pelawak Yus Jambu pada 30 November lalu.

 

Yus Jambu, atau nama sebenarnya Yussry Edoo, 39, meninggal dunia pada kira-kira 1 pagi 30 November lalu di Hospital Selayang.

 

Majlis berkenaan turut dihadiri beberapa rakan artis antaranya Jep Sepahtu, Jihan Muse, Sherry Al Hadad, Yasmin Hani, Tomok, Syuib Sepahtu dan Black.

 

Imam besar masjid negeri itu Muhammad Farhan Wijaya mengetuai bacaan Yassin dan tahlil.

 

Yus Jambu, juga lebih mesra disapa Pak Yus oleh rakan-rakan artis, dikejarkan ke hospital ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Selayang sebelum mengadu sesak nafas.

 

Sebelum itu, beliau mengadakan persembahan program Raja Band di Dataran Merdeka.

 

Pemergiannya mengejutkan dunia hiburan tanah air dan peminat-peminatnya walaupun penyakit kencing manis, asma dan jantung yang dialami Yus sejak tiga tahun lalu dilaporkan semakin terkawal.

 

Juara “Raja Lawak” musim pertama itu kali terakhir di televisyen minggu lalu ketika mengadakan persembahan bersama kumpulan Kobis Pedas di pentas Juara Parodi.

 

Sepanjang hayat Yus, beliau pernah membintangi pelbagai siri drama dan sitkom seperti “Karoot Komedia,” Pondok Jambu,” “Biasa Je” dan “Jejaka J.”  – MalayMail

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.