Penolong Pegawai Perubatan Didakwa Bunuh Kerani Sekolah Agama

MUAR – Seorang Penolong Pegawai Perubatan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam atas tuduhan membunuh seorang kerani wanita sekolah agama yang mayatnya ditemukan dengan kesan jerut di leher di Taman Setia Kasih, per­tengahan bulan lalu.

 

Zurailie Muhamad, 30, yang sudah berkahwin dan mempunyai dua anak mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan kepadanya oleh ju­ru­­bahasa di hadapan Majistret Mohd. Syafiq Mustaza.

 

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang tidak diwakili peguam.

 

Mengikut kertas pertuduhan, Zurailie didakwa membunuh Nurul Shahira Mohamed Yatim, 29, di rumah beralamat nombor 85, Taman Setia Kasih, Jalan Sungai Terap, Bu­kit Pasir antara pukul 2.05 petang dan 2.30 petang, 16 November lalu.

 

Pertuduhan terhadap penjawat awam itu dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, A. Shaarmini mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

 

Mahkamah menetapkan 5 Ja­nua­­ri depan untuk sebutan semula kes tersebut sementara menunggu laporan kimia dan bedah siasat siap.

 

Akhbar sebelum ini melaporkan, Nurul Shahira yang merupakan kerani Sekolah Agama Sungai Raya ditemukan mati dalam keadaan menyayat hati di pintu bilik utama rumahnya.

 

Nurul Shahira ditemukan jiran sebelah rumahnya pada pukul 6 petang dalam keadaan terbaring dengan kesan jerut di leher dan telefon bimbit serta barang-barang kemasnya turut dirompak.

 

Semasa kejadian suami Nurul Shahira, Muhammad Faris Jaafar, 30, tiada di rumah kerana bekerja di Ulu Tiram, Johor Bahru manakala anaknya, Muhammad Aish, 11 bulan, dijaga pengasuh di kawasan berdekatan. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.