Khairy Kesal Malaysia Dikatakan Tidak Selamat

KUALA LUMPUR – “Jika ia cukup selamat untuk Obama datang ke Kuala Lumpur, saya pasti ia cukup selamat untuk pemain skuasy datang ke sini. Jadi kenyataan itu memang tidak masuk akal dan saya sangat kesal dengan kenyataan tersebut,” kata Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

 

Menurutnya, pihak Kementerian Belia Sukan (KBS) akan mendapatkan penjelasan lanjut daripada penganjur yang dikatakan bimbang dengan soal keselamatan berhubung Kejohanan Skuasy Wanita Dunia di sini dari 11 hingga 18 Dis ini.

 

Beliau berkata, penjelasan daripada Hallmark Events Group penting bagi mengelak persepsi kononnya Malaysia tidak selamat untuk penganjuran kejohanan sukan bertaraf dunia.

 

Pada masa yang sama, beliau turut menyanggah kenyataan yang dikeluarkan oleh penganjur kejohanan berhubung perkara berkenaan memandangkan Malaysia telah menganjurkan persidangan antarabangsa tanpa sebarang masalah keselamatan.

 

Beliau menjadikan Sidang Kemuncak ASEAN ke-27 dan sidang kemuncak berkaitan di ibu negara, baru-baru ini yang menyaksikan kehadiran beberapa pemimpin terkemuka dunia termasuk Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama.

 

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menerusi entrinya dalam Facebook mengarahkan KBS dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mendapatkan penjelaskan daripada penganjur kejohanan itu berhubung soal keselamatan.

 

Pihak penganjur dilaporkan telah menulis kepada Persatuan Skuasy Profesional (PSA) yang meluahkan rasa bimbang mengenai tahap keselamatan di Kuala Lumpur.

 

Khairy kecewa kerana penganjur menggunakan saluran media terlebih dahulu bagi membangkitkan soal keselamatan pada kejohanan berkenaan tanpa merujuk terlebih dahulu kepada KBS, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mahupun PDRM.

 

Dalam perkembangan lain, beliau meminta Persekutuan Bina Badan Malaysia (MBBF) mengambil tindakan segera berhubung laporan media yang mendakwa seorang atlet bina badan negara gagal dalam ujian doping yang dijalankan oleh Agensi Antidadah Malaysia (Adamas) sebelum menyertai satu kejohanan di luar negara, baru-baru ini.

 

Khairy menjelaskan berdasarkan Prosedur Operasi Standard, mana-mana persatuan sukan kebangsaan bertanggungjawab mengumumkan keputusan atau tindakan terhadap mana-mana atlet mereka yang gagal dalam ujian doping.

 

“Namun begitu, saya akan minta Ketua Unit Adamas, (Nishel Kumar) untuk menghubungi MBBF untuk minta perkara ini dapat dijelaskan dalam masa terdekat,” tegas Khairy.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.