FELDA United Sudah Sedia Kejutkan Kedah

NILAI – Pengendali FELDA United FC, Irfan Bakti Abu Salim menegaskan tiada istilah beraksi di tempat lawan bagi pasukannya walaupun terpaksa mengharungi baki 90 minit separuh akhir kedua Piala Malaysia berdepan Kedah di Stadium Darul Aman, Ahad ini.

 

Sebaliknya jurulatih berusia 64 tahun itu yakin anak buahnya mampu melakar kejutan ke atas Kedah walaupun terpaksa berdepan sorakan padu puluhan ribu penyokong Helang Merah.

 

Katanya, tidak mustahil sejarah melakar kejutan di gelanggang lawan seperti yang dilakukan ketika berdepan juara Piala AFC, Johor Darul Ta’zim (JDT) pada saingan suku akhir akan berulang di Alor Setar.

 

“Aksi di gelanggang sendiri dan tempat lawan adalah sama bagi kami. “Ini kerana semua orang boleh lihat, kami bermain di Stadium Selayang seperti kami berada di tempat lawan jika mengikutkan jumlah penyokong pihak lawan.

 

“Kami memang kekurangan dari aspek sokongan pemain ke-12 (penyokong). Namun, kalau dilihat dalam liga, kami banyak menang di tempat lawan, jadi tiada masalah untuk kami beraksi di Alor Setar.

 

“Apapun, masih ada 90 minit lagi di Alor Setar yang akan menentukan pasukan mana lebih layak ke final,” katanya yang membawa FELDA United hingga ke separuh akhir Piala Malaysia, musim lalu,” katanya.

 

Tiada jalan lain bagi skuad The Fighters melainkan perlu mendapatkan kemenangan atau sekurang-kurangnya meraih keputusan seri 3-3 pada perlawanan Ahad ini untuk mereka mencipta sejarah layak ke final buat kali pertama.

 

Selain itu, Irfan turut menegaskan akan memperbaiki segala kelemahan menjelang perlawanan separuh akhir kedua itu.

 

“Memang kelekaan pemain terhadap situasi bola mati menjadi punca Kedah bangkit dengan dua gol penyamaan dan saya perlu memperbaiki segala kelemahan itu.

 

“Kehadiran semula Indra Putra Mahayuddin juga dilihat bakal memperkuatkan lagi pasukan,” katanya. – BHarian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.