Doktor Dipecat, Berdepan Hukuman Penjara Kerana Hina Presiden Turki

ISTANBUL — Jika Gollum, watak pelik dalam filem terkenal “Lord of the Rings”, itu jahat, seorang doktor akan didapati bersalah menghina presiden Turki.

 

Tetapi siapakah Gollum dan apakah watak makhluk kerdil dan kurus ini mewakili seseorang yang jahat?

 

Hakim di sebuah mahkamah di negara ini melantik tiga pakar untuk membuat tafsiran tersebut sebelum memutuskan sama ada Bilgin Ciftci bersalah menghina Recep Tayyip Erdoğan, lapor Reuters semalam.

 

Ciftci, doktor di bandar Aydin, memuatkan foto Gollum bersebelahan imej Erdogan dengan gaya kedua-duanya seakan-akan sama di Twitter.

 

Akibatnya beliau dilaporkan diberhentikan kerja dan diseret pula ke mahkamah. Jika didapati bersalah, Ciftci boleh dihukum penjara sehingga empat tahun.

 

Walau mengaku mengetahui “Lord of the Rings”, hakim dilaporkan berkata beliau tidak dapat mengesahkan sama ada Gollum itu lambang watak jahat atau baik.

 

Sebelum diangkat ke layar perak, Gollum diperkenalkan oleh pengarang hebat JRR Tolkien dalam novel “The Hobbit”, satu daripada trilogi “Lord of the Rings”.

 

Pada asalnya baik, watak ini berubah jahat apabila terpengaruh dengan kuasa cincin.

 

Sejak itu Gollum dipaparkan selalu bergelut untuk mendapatkan cincin itu tetapi pada masa yang sama membenci kejahatannya.

 

Tiga pakar yang dilaporkan akan menilai baik-buruk watak Gollum: pakar wayang, ahli sains gelagat dan ahli psikologi.

 

Kes ini bukan pertama kali Erdogan menyeret pengkritiknya ke mahkamah.

 

Pemimpin aliran agama itu, yang popular di kalangan aktivis gerakan-gerakan Islam dunia, pernah menyaman pelukis kartun, bekas ratu cantik Turki dan remaja atas alasan menghina beliau. – MalayMail

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.