Wahai Pembangkang, Sila Buka Mata Isu ‘Projek IC’ – Bung Mokhtar

Kuala Lumpur – Pihak pembangkang diminta membuka mata dan melihat kembali keputusan tidak wujud pemberian kad pengenalan secara meluas atau ‘Projek IC’ dalam Laporan Suruhanjaya Siasatan (RCI) Pendatang Asing di Sabah.

Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Radin berkata, tuduhan serta tohmahan pembangkang kepada kerajaan terhadap isu berkenaan selama ini juga tidak benar dan mereka perlu menerima hakikat sebenar laporan berkenaan.

“Tidak ada Projek IC seperti yang didakwa…jadi selama ini pembangkang salah.

“Pembangkang perlu menerima hakikat keputusan ini, tetapi kita semua faham bagaimana sikap mereka, susah hendak menerima kenyataan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Bung Mokhtar mengulas laporan RCI yang mendapati wujud aktiviti haram berhubung pengeluaran dokumen pengenalan Malaysia secara meluas kepada pendatang atau orang asing yang dikatakan berlaku dalam negeri tersebut.

Bagaimanapun, tidak wujud pemberian kad pengenalan secara meluas atau ‘Projek IC’ sepertimana didakwa sebelum ini, kata laporan itu.

Ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini mendakwa isu pengeluaran kad pengenalan kepada pendatang haram bermula ketika zaman pemerintahan Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein.

Semasa pembentangan RCI oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa, kerajaan turut bersetuju menerima syor Suruhanjaya Siasatan Pendatang Asing di Sabah supaya sebuah Jawatankuasa Tetap Mengenai Pendatang Asing di Sabah ditubuhkan.

Katanya, penubuhan jawatankuasa tetap itu sedang giat diperhalusi oleh kerajaan, termasuk daripada segi keahlian, terma rujukan serta bidang kuasanya.

Dalam pada itu, kata Bung Mokhtar, pihak berkenaan juga harus mempertimbangkan memberi kerakyatan kepada mana-mana individu yang layak selepas satu tempoh yang ditetapkan.

“Selepas RCI ini, kita harap mereka yang layak diberi hak mastautin dipertimbangkan selepas melepasi syarat tertentu.

“Mereka yang merasakan layak boleh memohon dan pertimbangan akan diberi mengikut faktor yang harus dimaklumkan,” jelasnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.