Selangor Tarik Gelaran ‘Datuk Seri’ Anwar Ibrahim

Shah Alam – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah perkenan menarik balik gelaran ‘Datuk Seri’ daripada Anwar Ibrahim kerana tindakannya yang kerap mempersoalkan integriti dan institusi di-Raja Selangor berhubung kemelut Menteri Besar Selangor baru-baru ini.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani dalam satu kenyataan memberitahu penarikan balik anugerah ‘Datuk Seri’ berkuatkuasa berkuatkuasa 3 November lepas, menurut kenyataan daripada pihak Istana Selangor.

Sultan Sharafuddin dilaporkan membuat keputusan itu selepas berunding dengan Majlis Mahkamah Diraja bulan lepas.

“Tindakan dan tingkah laku itu menyebabkan beliau tidak lagi layak menggunakan gelaran berkenaan,” katanya, Khamis.

Turut dilampirkan bersama kenyataan Munir ialah petikan halaman daripada Warta kerajaan negeri Selangor yang diterbitkan pada 20 Nov lalu

“Pada menjalankan kuasa yang diberikan oleh Perkara XXXIX daripada Undang-Undang Perlembagaan Selangor, 1959 Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, selepas berunding dengan Dewan di-Raja, telah bersetuju bahawa gelaran Seri Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah yang telah diberikan kepada Anwar Ibrahim dari No. 11, Jalan 3/61 Bukit Segambut, 51200 Kuala Lumpur ditarik balik berkuat kuasa dari 3 November 2014″.

Anwar menerima anugerah itu daripada Sultan Selangor pada 1992.

Selain daripada pingat Seri Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSSA) yang membawa gelaran ‘Dato’ daripada kerajaan negeri Selangor, Anwar turut memegang beberapa gelaran Datuk dari negeri lain termasuk Perlis, Perak, Sabah, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Melaka dan Pahang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.