Persiaran Chin Peng: Polis Diminta Siasat Khabar Angin Pertukaran Nama Jalan

Georgetown – Kerajaan Pulau Pinang meminta polis menyiasat penyebaran khabar angin mengenai pertukaran nama Persiaran Gurney kepada Persiaran Chin Peng.

Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Wong Hon Wai berkata siasatan perlu dijalankan bagi mencari individu bertanggungjawab menyebarkan mesej itu menerusi aplikasi WhatsApp yang tersebar sejak beberapa hari lepas.

“Dakwaan itu dibuat Ketua Pemuda Umno Pulau Pinang Rafizal Abdul Rahim. Justeru kami minta polis siasat dari mana sumber sebenar khabar angin itu diperoleh,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, di sini pada Khamis.

Ketika ditanya adakah perkara itu dipercayai mempunyai kaitan dengan penganjuran majlis makan malam perajurit Parti Komunis Malaya (PKM) di Perai Sabtu lepas, beliau berkata, “kita serah pada polis untuk siasat”.

Rafizal pada Selasa berkata pihaknya mendapat maklumat itu menerusi sumber dalam pejabat Ketua Menteri, bagaimanapun beliau enggan mendedahkan sumber berkenaan.

Ketua Menteri Lim Guan Eng dalam sidang akhbarnya semalam menegaskan Persiaran Gurney di sini akan kekal dengan nama berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Mior Faridalathrash Wahid ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kes itu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 505 (C) Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kegusaran terhadap awam,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.