Perang Macam Komunis

Kuala Lumpur – “Ejen haram penyeludupan senjata api ke negara ini wajar diperangi seperti komunis kerana tindakan mereka telah membahayakan nyawa rakyat di negara ini.”

Demikian tegas Pensyarah Kanan Pengajian Strategi dan Keselamatan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Mior Roslan Mior Mohd Jaafar yang turut mencadangkan agar Malaysia dan Thailand memberi fokus semula terhadap perjanjian Jawatankuasa Sempadan Serantau (RBC) untuk menentang komunis pada 1960-an.

Menurut beliau, ini kerana tindakan ejen haram berkenaan sama seperti komunis yang boleh meragut nyawa sesiapa sahaja apabila senjata api dijual secara berleluasa walaupun tahu ia menyalahi undang-undang.

“Perjanjian ini dahulu memberi fokus kepada pergerakan komunis dan jenayah termasuk penyeludupan dan dalam situasi hari ini fungsinya mungkin perlu difokus dan diperketatkan lagi.

“Dengan cara ini, segala maklumat risikan dapat diperoleh dengan tepat dan barulah jenayah berat ini dapat dihapuskan atau dikurangkan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Mior Roslan berkata, dalam dunia globalisasi hari ini, keselamatan terkandung dalam konteks yang lebih luas membabitkan isu yang bukan bersifat ketenteraan

“Sebagai sebuah negara yang terletak ditengah-tengah Asia Tenggara dan berkongsi sempadan secara langsung dengan lima negara serantau iaitu Brunei, Filipina, Indonesia, Singapura dan Thailand menjadikan sempadan Malaysia sukar dikawal.

“Tumpuan keselamatan kini beralih kepada isu keselamatan bukan tradisional seperti pendatang haram dan jenayah rentas sempadan yang memerlukan kerjasama erat sepanjang masa antara Malaysia dan negara berkenaan,”katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.