Penyanyi AF Musim Ketiga, Ekin Dan Yazer Nikah 26 Disember

Kuala Lumpu – Menjalinkan hubungan cinta selama sembilan tahun dan pernah putus seketika hujung tahun lalu, pasangan kekasih Ekin, 30, dan Yazer, 32, akhirnya memutuskan untuk berkahwin pada bulan ini.

Majlis pernikahan mereka akan diadakan pada 26 Disember dan diikuti dengan persandingan pada 28 Disember.

Kedua-dua majlis akan diadakan di lokasi yang sama iaitu kampung Ekin di Wilayah Persekutuan Labuan, Sabah.

Ekin sendiri menghantar kad jemputan majlis persandingan di laman Facebook penulis.

“Kami akan bernikah selepas waktu Zuhur dan majlis bersanding pula bermula dari jam 11 pagi hingga 4 petang. Tiada tema tertentu. Yang penting kami nak nampak cantik dan segak selain selesaikan apa yang wajib,” kata Ekin yang dihubungi BH Online sebentar tadi.

Ekin sendiri tidak menyangka jodoh mereka panjang biarpun pernah dilanda badai hingga nekad memutuskan hubungan yang sedia terjalin sejak kedua-duanya menyertai Akademi Fantasia musim ketiga sekitar 2005.

“Sedangkan lidah lagi tergigit inikan pula kita manusia biasa. Bercinta pun biasalah, ada pasang surutnya. Ada kalanya kami masing-masing mampu menduga kesabaran. Malah waktu kami putus cinta itu, saya dalam hati pernah katakan cukuplah jodoh kami setakat itu.

“Cuma siapa sangka selepas berpisah, perasaan sayang itu kian bercambah pula selepas berasakan diri kosong. Dia (Yazer) ada menghubungi saya untuk memujuk hati saya yang lara tapi mulanya saya jual mahal. Tapi dia tak pernah berputus asa untuk memenangi kembali hati saya.

“Ironinya, sayang itu masih ada antara kami. Saya pujuk hati untuk terima dia semula. Dia menghubungi saya 21 April lalu kebetulan pada hari lahir bapa saya sekali gus memberanikan diri untuk menghubungi bapa dan keluarga saya untuk menyatakan hasrat hatinya,” kata Ekin yang memberitahu beliau dilamar Yazer pada 9 November lalu.

Ekin kini masih aktif menyanyi biarpun dilihat sudah suam-suam kuku. Pernah hadir dengan album penuh pada 2012 tapi sayang album itu bagaikan tidak disedari. Malahan stesen radio juga tidak memberikan sokongan.

“Saya masih ada undangan persembahan menyanyi. Saya kini berada di bawah naungan Stadium First sebuah syarikat pengurusan dan acara. Sudah dua tahun bersama syarikat itu, ” kata Ekin atau nama penuhnya Norashikin Abdul Rahman.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.