Pemilik Ladang Maut Jatuh Gaung

Georgetown – Seorang pemilik ladang yang sentiasa menunggang motosikal untuk pergi ke ladangnya di Bukit Bendera ditemui mati di dalam gaung sedalam 25 meter.

Cheng Seng Lee, 73,  dari Pokok Cheri, Ayer Itam ditemui oleh jirannya yang bimbang kerana Cheng tidak pulang ke rumah jam 8 malam tadi, selepas keluar pada jam 3 petang.

Jirannya yang bimbang dan beberapa jiran yang lain terus keluar mencari dan menemui mayat Cheng tertiarap di gaung di Stesen 2, di Bukit Bendera.

Menurut Ketua Polis Timur Laut Asisten Komisioner Mior Farid Alathrash Wahid, jiran Cheng dan beberapa penduduk kampung yang lain menghubungi polis dan ambulans.

“Mayat Cheng dibawa keluar oleh anggota penyelamat pada jam 11.35 malam,” kata ACP Mior.

Katanya, siasatan polis menolak adanya perbuatan khianat kerana jalan menuju ke ladang Cheng, licin dan curam.

Cheng juga dipercayai meninggal dunia selepas motor itu menghempap tubuhnya menyebabkan kecederaan di kepala.

Mayatnya dibawa ke bilik mayat Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.