Laporan RCI Titik Permulaan Selesaikan Isu PATI Di Sabah

Kota Kinabalu – Laporan Siasatan Suruhanjaya Diraja (RCI) mengenai Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang dikeluarkan semalam adalah titik permulaan kepada penyelesaian masalah PATI di Sabah secara muktamad, kata Timbalan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.

Beliau berkata laporan itu perlu disusuli dengan tindakan tegas kerajaan menerusi pelbagai agensi penguatkuasaannya untuk memastikan PATI tidak lagi menjadi suatu isu di Sabah pada masa hadapan.

“Inilah yang kami nantikan selama ini. Pertamanya, diakui bahawa terdapat sindiket terdiri daripada individu dan kumpulan yang melakukan kesalahan, begitu juga dengan kehadiran PATI di Sabah telah diakui, ” kata Pairin yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah pada Majlis Anugerah Khidmat Cemerlang Jabatan Kerja Raya di sini hari ini.

Pairin berkata langkah pertama yang perlu diambil oleh kerajaan ialah untuk mencegah kemasukan lanjut PATI ke Sabah dan memastikan warga asing tanpa dokumen perjalanan yang sah tidak dibenarkan berada di negeri ini.

Beliau berharap penubuhan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) dan Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) serta penambahan anggota pasukan keselamatan di sana akan mengekang kemasukan PATI ke negeri ini dengan lebih berkesan.

Mengenai pelantikan beliau sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kerja yang dicadangkan oleh RCI, Pairin tidak mengulas lanjut tetapi berkata buat masa ini beliau akan mendapatkan pandangan pelbagai pihak untuk tindakan selanjutnya.

Pada masa yang sama, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah Datuk Seri Dr Salleh Tun Said Keruak hari ini menyokong sepenuhnya permintaan kabinet negeri di bawah Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman kepada pihak berkuasa berkaitan untuk mengambil tindakan drastik terhadap mereka yang bertanggungjawab dalam isu PATI di Sabah.

Salleh yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri berkata rakyat Sabah perlu menerima hasil penemuan laporan itu berdasarkan bukti yang diumumkan oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa semalam, dengan hati terbuka dan menggesa masyarakat supaya tidak mempolitikkan isu ‘Projek IC’.

Kerajaan komited untuk mencari penyelesaian terhadap kemasukan PATI di Sabah untuk kebaikan rakyat, negeri dan negara, katanya.

Salleh juga mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kerana menunaikan janji untuk menubuhkan suruhanjaya itu dan mengeluarkan hasil penemuan siasatan buat pengetahuan umum.

Sementara itu di TAWAU, Setiausaha Majlis Permuafakatan Suluk Sabah (MPSS), Mohd Zaki Harry Susanto hari ini berkata hasil penemuan laporan siasatan suruhanjaya mengenai PATI di Sabah itu perlu diterima dengan hati terbuka oleh semua pihak tanpa sebarang andaian negatif.

Katanya siasatan yang dibuat oleh RCI adalah telus kerana ia dilakukan tanpa campur tangan mana-mana pihak yang berkepentingan.

Beliau berkata:”Kita tidak menolak wujudnya elemen kebarangkalian ‘projek IC’ sebagaimana yang dimaklumkan dalam pengumuman hasil siasatan RCI kelmarin, tetapi kita harus meletakkan kesalahan tersebut kepada kegagalan individu yang tidak berintegriti ketika menjalankan tugas dan amanah sebagai pegawai kerajaan,” katanya.

RCI ditubuhkan pada 11 Ogos 2012 dipengerusikan bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Steve Shim dan turut dianggotai bekas Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah Prof Datuk Seri Dr Kamaruzaman Ampon, bekas Ketua Polis Kuala Lumpur Tan Sri Henry Chin Poy Wu, bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk K.Y Mustafa dan bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga bekas Peguam Besar Negeri Sabah Tan Sri Herman J. Luping.

Suruhanjaya itu antara lain diberikan kuasa menyiasat jumlah pendatang asing di Sabah yang telah diberikan kad pengenalan atau kewarganegaraan.

RCI menamatkan prosiding siasatan mereka pada 20 Sept tahun lepas dengan memanggil 211 saksi termasuk bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.