Institut Al-Quran Terengganu Dinaik Taraf Sebagai Kolej Universiti

Kuala Terengganu – Institut al-Quran di Padang Midin dekat sini telahpun mendapat pengesahan daripada Kementerian Pendidikan untuk dinaik taraf sebagai Kolej Universiti, kata Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman.

Serentak itu katanya satu program baharu akan diperkenalkan untuk pelajar tingkatan empat iaitu program Yusuf Al Qardhawi yang akan mengambil 30 pelajar cemerlang sebagai pelajar perintisnya mulai tahun depan.

Beliau berkata program yang menggabungkan bidang sains dan agama ini akan menjadi platform dalam usaha melahirkan semula ulama tersohor negeri ini.

“Tiga puluh pelajar perintis itu terdiri daripada mereka yang cemerlang dalam Penilaian Menengah Rendah baru-baru ini dan mestilah menghafaz 30 juzuk al-Quran sebagai kriteria utamanya,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini pada Rabu.

Penaiktarafan Institut al-Quran kepada Kolej Universiti itu merupakan satu daripada 18 Aku Janji Barisan Nasional Terengganu pada Pilihan Raya Umum ke-13.

Pada sidang akhbar itu juga, Ahmad Razif menyampaikan hadiah kepada dua calon berkeperluan khas yang mendapat 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) baru-baru ini.

Mereka ialah Muhammad Syahmi Samsul Muariff dari Sekolah Kebangsaan Seri Budiman II, Kuala Terengganu, yang juga murid autisme dan Muhammad Fakhruddin Abd Razak dari SK Sungai Lerek, Setiu, yang mempunyai masalah penglihatan kronik iaitu rabun jauh dengan penggunaan cermin mata khas.

Ahmad Razif berkata kesungguhan ibu bapa, guru dan kedua-dua murid istimewa itu perlu dijadikan motivasi untuk pelajar lain dalam memburu impian masing-masing.

“Kedua-dua murid ini akan terus menerima bantuan daripada kerajaan negeri mengikut keperluan semasa mereka agar terus cemerlang dan menjadi modal insan cemerlang di Terengganu pada masa depan,” katanya.

Kedua-dua mereka menerima wang tunai RM1,000 setiap seorang.

Ahmad Razif berkata beliau juga akan mengumumkan insentif bagi meraikan kejayaan Terengganu sebagai negeri terbaik dalam UPSR lalu dalam pembentangan Bajet 2015 di persidangan Dewan Undangan Negeri pada Isnin depan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.