‘Aku Nok Pitih, Nate Babi Ni’

Kota Bharu – Perbuatan derhaka seorang anak cuba membunuh ibu sendiri mendapat balasan sementara di dunia apabila dia dihukum penjara lima tahun oleh Mahkamah Majistret Kota Bharu, hari ini.

Hukuman diputuskan Majistret, Nik Habri Muhamad terhadap tertuduh Zamri Awang, 38, selepas dia mengaku bersalah melakukan ugutan jenayah dengan melibas parang terhadap Bidah Abdu Rahman, 60, di rumah mereka di Kampung Terap, Banggu, di sini, pada jam 7.30 malam, 31 Ogos lalu.

Dalam kejadian itu, pengadu yang sedang duduk di dapur rumah didatangi tertuduh meminta RM5, namun pengadu berkata dia sudah tidak mempunyai wang dan RM10 yang diberikan pada jam 6 petang sebelum itu juga dipinjam daripada orang lain.

Tertuduh masih tidak berpuas hati dan berkata kepada pengadu “aku nok pitih (duit) nate (binatang) babi ni” dan kemudiannya mengambil parang sambil berkata, “nanti aku nok kerat palo (kepalo) sapo ni”.

Tidak lama selepas itu tertuduh pergi ke arah pengadu, anak dan menantu dengan melibas-libas parang dan berkata lagi, “aku nok kerat tengkuk tiga-tiga ni”.

Ekoran ugutan itu, anak dan menantu pengadu ketika itu terus keluar dari rumah kerana ketakutan.

Tertuduh terus mengamuk dan merosakkan barang-barang di dalam rumah hingga pintu dapur tercabut dan memecahkan pinggan mangkuk serta kuali dan melibas-libas parang sambil menjengkelkan mata ke arah ibunya.

Pengadu kemudian melaungkan azan dengan kuat dan tidak lama kemudian tertuduh beredar.

Pada prosiding itu, ibu tertuduh hadir dan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman maksimum kepada anaknya itu kerana dia sangat takut terhadap tertuduh.

Mangsa juga tidak berpaling melihat anaknya di dalam kandang orang salah.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Noor Dayana Mohamad.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.