Polis Lumpuh Sindiket Dadah, Rampas 62,400 Pil Kuda Bernilai RM1.56 Juta

KOTA BHARU, 4 Dis (Bernama) — Polis Kelantan percaya dapat melumpuhkan sindiket pengedaran dadah di Kelantan dan Terengganu berikutan penahanan tujuh orang termasuk tiga beranak dan merampas 62,400 pil kuda bernilai RM1.56 juta di Pengkalan Chepa, dekat sini, Isnin lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kelantan Supt Amran Ramli berkata serbuan di bawah Ops Cantas Khas Narkotik dilakukan ke atas sebuah rumah di Kampung Pulau Panjang, pada kira-kira 10.10 pagi, selepas intipan selama tiga bulan.

Katanya, polis menahan seorang buruh berusia 64 tahun bersama-sama tiga anak lelakinya berumur antara 18 hingga 23 tahun, menantu perempuan, 16 tahun dan dua saudaranya, masing-masing seorang lelaki berusia 44 tahun dan wanita berusia 53 tahun.

“Kita turut menemui wang tunai berjumlah RM16,849 yang disorok di dalam sebuah bantal di salah sebuah bilik suspek serta menyita dua kereta dan empat motosikal.

“Pil kuda jenis ‘WY’ itu ditemui disorokkan di bawah rumah ketika serbuan dilakukan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini Rabu.

Katanya, sindiket berkenaan dipercayai bergerak aktif di Kelantan dan Terengganu sejak tiga bulan lepas.

“Rampasan ini adalah kedua terbesar pada tahun ini dan kesemua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau serta negatif ujian air kencing,” katanya.

Beliau berkata kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula Selasa dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Dalam perkembangan lain, Amran berkata bagi tempoh Januari hingga kini, polis menyita harta milik pengedar dadah bernilai RM4.4 juta dalam pelbagai operasi yang dijalankan jabatan berkenaan.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.