Pengarah ‘Ular’ Kesal Karya Tempatan Dituduh ‘Cedok’ Filem Luar

PETALING JAYA: Pengarah filem Ular, Jason Chong menganggap masyarakat masih tidak yakin dengan kemampuan anak tempatan dalam menghasilkan sesebuah filem terutamanya dalam percubaan menerbitkan genre baharu.

Jason berkata, masyarakat sering membandingkan dan mendakwa hasil karya anak tempatan meniru produk luar, biarpun mereka masih belum menontonnya.

“Saya harap penonton dapat menilainya sendiri selepas menyaksikan filem ini dan jangan hanya membuat dakwaan sebelum menontonnya.

“Pada saya masyarakat kita masih tidak yakin dengan kebolehan anak tempatan dan sering mendakwa karya itu meniru filem luar. Mereka seharusnya perlu menyokong karya seni anak tempatan,” katanya ketika ditemui pada pratonton filem Ular, di E@Curve, di sini, pada Selasa.

Barisan pelakon filem Ular yang hadir pada majlis pratonton filem tersebut pada Selasa.

Jeson berkata demikian ketika diminta mengulas tentang isu poster Ular yang didakwa menciplak poster filem Anaconda dan jalan cerita yang hampir sama dengan filem popular tersebut.

Tambah Jason, genre filem seperti ini masih baharu untuk diketengahkan di negara ini dan masyarakat masih lagi terikat dengan filem-filem daripada luar seperti Anacondas.

Dalam pada itu, Jason menjelaskan kelewatan filem ini berada di pawagam adalah bagi menunggu masa yang sesuai untuk ditayangkan.

“Kita siap filem ini sepenuhnya pada 2012 namun ketika itu pasaran filem sibuk dengan filem gengster dan komedi.

“Filem ini juga sesuai bagi penonton yang berminat menonton filem seram kerana genre yang sama,” katanya.

Lisa Surihani dan Yusry Abdul Halim sebagai pelakon utama filem ini.

Sementara itu, ditanya tentang komedi yang cuba ditonjolkan berunsur lucah, Jason berkata ia hanya selingan lawak jenaka yang disesuaikan dengan selera penonton.

Tambahnya, unsur lawak yang terdapat dalam filem ini bersesuaian dengan klasifikasi umur yang telah ditetapkan iaitu 18 tahun ke atas.

Filem Ular dibarisi pelakon Lisa Surihani, Yusry, Zarina Zainuddin, Nam Ron, Izzue Islam, Sharifah Shakinah, Zarina Anjoulie Lavokah dan Haron Salim Bachik.

Filem ini akan ditayangkan di seluruh pawagam bermula pada 5 Disember ini. – Mstar online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.