Bandar Kuantan Lumpuh, Talian Elektrik Diputuskan

KUANTAN 4 Nov. – Situasi banjir di negeri ini terutama di Kuantan bertambah buruk apabila beberapa laluan utama memasuki bandar ini terputus hubungan akibat air pasang besar yang berlaku kira-kira pukul 10 malam tadi.

Keadaan itu menyebabkan beberapa pencawang elektrik milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) ditenggelami air sehingga terpaksa memutuskan bekalan yang menyaksikan sebahagian besar daerah ini tiada bekalan tersebut.

Pemutusan bekalan itu turut menyaksikan bandar Kuantan sesak ekoran beberapa lampu isyarat yang tidak berfungsi.

Tinjauan Utusan Online kira-kira pukul 10 pagi ini mendapati mendapati kawasan perumahan di Tanah Putih, Batu 3, Permatang Badak, Kampung Kurnia dan seluruh kawasan Sungai Isap ditenggelami air.

Beberapa bot penyelamat termasuk bot milik penduduk kawasan perumahan terbabit digunakan bagi memindahkan mangsa banjir ke kawasan selamat.

Situasi tersebut menyaksikan pasukan penyelamat dan orang ramai berganding bahu membantu mangsa menggunakan pelbagai jenis kenderaan termasuk trak polis, tentera, Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia.

Selain itu, dua helikopter milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) digunakan bagi menghantar bekalan makanan ke Sungai lembing dan Kampung Belukar yang terputus hubungan sejak kelmarin.

Sementara itu, beberapa orang awam termasuk petugas media semalam terpaksa menunggu sehingga pukul 2 pagi bagi menunggu air surut sebelum dapat keluar daripada kawasan berhampiran perkampungan Inderapura di sini.

Ia ekoran kenaikan air Sungai Belat yang melimpah sehingga menyebabkan jalan Kuantan-Pekan berhadapan Kolej Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KIPSAS) ditutup. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.