Wanita Pertama Jadi Ketua Pemuda MCA

KUALA LUMPUR: Dominasi lelaki sebagai Ketua Pemuda MCA malam ini berjaya ditumbangkan apabila Nicole Wong Siaw Ting selaku wanita pertama diangkat menerajui jawatan tertinggi sayap pergerakan parti itu.

Sebelum ini, jawatan berkenaan disandang oleh bekas Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Chong Sin Woon.

Siaw Ting yang sebelum ini menyandang jawatan Naib Ketua Pemuda MCA memperoleh 136 undi sekali gus menewaskan pencabarnya Ng Kian Nam dalam Pemilihan Jawatankuasa Pusat Pemuda bagi 2018 hingga 2021.

Kian Nam yang juga Ketua Biro Politik Pemuda MCA meraih 82 undi.

Ketika ditemui media di Wisma MCA, Siaw Ting berkata, beliau bersyukur atas sokongan yang diberikan dan berjanji akan bekerja keras demi parti.

’Tumpuan utama selepas ini adalah mengembalikan keyakinan rakyat terhadap MCA.

“Kita akan bersama turun padang, dekati komuniti dalam usaha mendapatkan maklumat selain mendengar keluhan dan pendapat mereka,” katanya malam tadi.

Ditanya adakah jawatankuasa baharu akan mengadakan pertemuan dengan sayap pergerakan pemuda Barisan Nasional (BN) dalam masa terdekat, Siaw Ting berkata, perkara itu akan diputuskan kemudian.

Bagi pemilihan timbalan ketua pemuda, Tan Chee Hiong yang sebelum ini menyandang jawatan naib ketua pemuda berjaya mengetepikan Kang Choo Nge.

Keputusan itu sekali gus melayakkan Chee Hiong mengisi jawatan nombor dua sayap pergerakan parti itu.

Chee Hiong memperoleh sebanyak 146 undi manakala Choo Nge dengan 72 undi. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.