Video: Ramai Ahli Tak Dapat Mengundi Punca Pemilihan PKR Cabang Keningau Kecoh

KENINGAU – Pemilihan Cabang PKR Keningau pada Sabtu kecoh apabila penyokong seorang calon yang bertanding jawatan Ketua Cabang itu bertindak menceroboh pusat pemilihan selepas pusat berkenaan ditutup pada jam 4 petang.

Difahamkan, kumpulan berkenaan tidak berpuas hati apabila proses pengundian di Balai Raya Kampung Marampong itu ditutup walaupun masih ramai anggota parti yang belum mengundi.

Dalam kejadian tersebut, kumpulan yang tidak berpuas hati itu bertindak memecahkan pintu dan dinding balai raya berkenaan, selain mereka juga membaling kerusi dalam pusat pengundian itu.

Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) tiba untuk meleraikan kekecohan tersebut.

Tiada kecederaan dilaporkan berikutan kekecohan selama 15 minit itu, namun banyak kerusi rosak selain kerosakan teruk pada pintu balai raya berkenaan.

Calon yang bertanding untuk Ketua Cabang PKR Keningau terdiri daripada Johari Tahir (penyandang jawatan), Datuk Dr Sangkar Rasam dan Haslina Abin Kassim.

Difahamkan, terdapat 6,000 pengundi bagi pemilihan parti itu di Keningau, namun hanya 30 peratus yang keluar mengundi.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Keningau, ASP Lee Nyuk Kim mengesahkan calon Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, yang berada di pusat pengundian semasa kekecohan itu berlaku, telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Keningau pada jam 5.15 petang Sabtu.

Bagaimanapun, Lee tidak memberikan butiran lanjut berkenaan kandungan laporan polis yang dibuat Rafizi. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.