Video: Pergaduhan Dalam Pemilihan PKR Rosakkan Nilai Murni Masyarakat – Dr Asri

KANGAR – Insiden pergaduhan sewaktu pemilihan pemimpin PKR yang berlaku di Keningau, Sabah semalam disifatkan sebagai insiden yang memalukan dan merosakkan nilai murni masyarakat Malaysia.

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, perkara itu nyata membimbangkan selepas pihaknya melihat rakaman pergaduhan terbabit di negeri ini.

“Biasanya, aksi dan cara sebegitu hanya kita lihat dalam masyarakat yang rendah peradaban dan tamadunnya.

“Malangnya, dalam Negara Malaysia yang terkenal dengan kesantunan terjadi hal seperti itu,” katanya menerusi satu status yang dimuat naik di Facebook pagi tadi.

Mohd Asri berkata, atas faktor kuasa manusia sudah hilang nilai murni dan akal yang waras.

“Apakah kualiti pemimpin yang hendak mereka pilih jika demikian keadaannya?” Katanya.

Semalam, pemilihan Cabang PKR Keningau kecoh apabila penyokong seorang calon yang bertanding jawatan Ketua Cabang itu bertindak menceroboh pusat pemilihan selepas pusat berkenaan ditutup pada 4 petang tadi.

Difahamkan, kumpulan berkenaan tidak berpuas hati apabila proses pengundian di Balai Raya Kampung Marampong itu ditutup walaupun masih ramai anggota parti yang belum mengundi. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.