Terkilan Langkah Kerajaan Batal Pengecualian Bayaran Untuk Graduan Cemerlang

KUALA LUMPUR – Pemimpin mahasiswa ralat dengan keputusan kerajaan menghapuskan keistimewaan pengecualian bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi graduan yang meraih Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama.

Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Sains Malaysia (YDP MPP USM) Ahmad Syafiq Mohd Nasir berkata, pihaknya terkejut dengan keputusan itu walhal keistimewaan itu sebenarnya menjadi pembakar semangat kepada majoriti mereka yang tidak mendapat tawaran biasiswa.

Katanya, tidak wajar langkah itu dikenakan selain mereka mempunyai gaji minimum RM1,000 sebulan pula wajib bayar pinjaman dengan kadar tertentu.

“Kita faham Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mengalami defisit kerana peminjam yang enggan membayar balik, namun terkilan kerana pengumuman itu menyebabkan mahasiswa ketika ini terjejas.

“Kami rasa terkilan dan ralat kerana ada mahasiswa yang belajar bersungguh-sungguh selain menyeimbangkan akademik serta aktiviti kokurikulum untuk meraih keputusan ijazah sarjana muda kelas pertama.

“Majoriti mahasiswa di institusi pengajian tinggi bergantung kepada PTPTN dan hanya sebilangan kecil yang menerima biasiswa,” katanya.

Beliau yang juga Naib YDP 1 Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan memohon kerajaan menangguhkan atau membatalkan mekanisme itu selain mengekalkan sistem sedia ada.

“Sebelum ini mereka yang enggan membayar balik hanya disenaraihitamkan dan diberi peluang tempoh lanjutan pembayaran pinjaman,” katanya.

Bagi Pengerusi Majlis Belia Felda Johor Manndzri Nasip, keputusan kerajaan itu ibarat mempermainkan golongan belia yang ‘digula-gulakan’ janji manis manifesto Pakatan Harapan (PH) yang menawarkan penangguhan pembayaran pinjaman PTPTN pada pilihan raya lalu. – HMetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.