RM1,100 Tidak Cukup Atasi Kos Sara Hidup

SHAH ALAM – Kadar baharu gaji minimum sebanyak RM1,100 yang diumumkan kerajaan dalam Belanjawan 2019 dikhuatiri tidak mampu mengatasi kos sara hidup rakyat.

Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-undang Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Dr Muzaffar Syah Mallow berkata, memandangkan keputusan terhadap penetapan gaji minimum ini sudah dibuat, kerajaan harus juga memastikan pekerja bakal menerima ketetapan gaji minimum ini tidak terus dibelengu dengan masalah kos sara hidup.

“Apa yang boleh dilakukan kerajaan adalah memperkenalkan beberapa bentuk elaun baru khusus kepada pekerja tempatan yang menerima gaji minimum ini bagi mengurangkan kos sara hidup.

“Kerajaan juga haruslah memastikan penetapan kadar gaji minimum yang baharu diumumkan serta yang bakal diumumkan di tahun-tahun yang akan datang memberi manfaat khusus kepada pekerja tempatan bukannya pekerja asing yang dilihat masih banyak mendominasi sektor pekerjaan bergaji rendah dalam negara kita,” katanya kepada Sinar Harian.

Semalam Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam pembentangan Belanjawan 2019 mengumumkan Kerajaan mencadangkan kenaikan gaji minimum kepada RM1,100 di seluruh Malaysia mulai 1 Januari tahun hadapan.

Ia selaras dengan keperluan untuk memastikan kadar gaji dapat menampung suasana kos sara hidup.

Selain itu, bagi menggalakkan peluang pekerjaan bagi rakyat Malaysia berumur 60 ke atas, kerajaan mencadangkan supaya caruman mandatori KWSP bagi majikan dikurangkan daripada enam peratus kepada empat peratus mulai 1 Januari 2019. – SINAR HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.