Musim Tengkujuh Sudah Bermula Di Pantai Timur

PERMAISURI: Musim tengkujuh di Pantai Timur bermula apabila hujan lebat berterusan sejak petang semalam menyebabkan beberapa kawasan rendah dinaiki air.

Di Kampung Seri Bayas, di sini, seramai 64 keluarga terputus hubungan selepas jambatan yang menghubungkan kampung mereka dengan laluan utama ditenggelami air setinggi dua meter, awal pagi tadi.

Ketua Balai Bomba Setiu, Penolong Penguasa Mustafa Ismail, berkata air mula naik sejak jam 3 pagi berikutan hujan lebat sejak kelmarin.

Berikutan itu, katanya, sepasukan lima anggota dari Balai Bomba Setiu bersama sebuah bot, lori dan pacuan empat roda dikerahkan ke Kampung Seri Bayas bagi menghadapi sebarang kemungkinan termasuk ancaman banjir.

“Berdasarkan maklumat, perkampungan ini menempatkan seramai 64 keluarga terkandas apabila kediaman mereka terputus hubungan kerana jambatan utamanya yang menghubungkan kampung terbabit dengan bandar ditenggelami air.

“Bagaimanapun, berdasarkan tinjauan di lokasi ini keadaannya masih terkawal dan tiada keperluan untuk memindahkan mangsa ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS),” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Hujan lebat sejak petang kelmarin itu turut menyebabkan jalan utama di Kampung Besut menghala Bandar Permaisuri ditutup kepada kenderaan ringan kerana ditenggelami air setinggi 0.4 meter.

Mustafa berkata, keadaan semasa di lokasi semakin baik apabila air mula surut pada sebelah tengah hari berikutan cuaca yang agak baik.

“Bagaimanapun, pemantauan berkala akan tetap diteruskan bagi memantau perkembangan semasa kerana kampung ini kerap dilanda banjir.

“Kami juga akan membuat pemantauan di beberapa lagi lokasi yang kerap dilanda banjir supaya sebarang tindakan susulan boleh diambil dengan cepat jika berlaku bencana,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.