MT UMNO Dijangka Bincang Kedudukan Zahid 9 November

SHAH ALAM – Majlis Tertinggi (MT) UMNO  dilaporkan mungkin akan membincangkan kedudukan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai presiden parti dalam mesyuaratnya yang dijadualkan 9 November ini, lapor The Malaysian Insight.

Portal itu memetik seorang anggota MT yang tidak dinamakan, yang memberi jaminan kepada Pemuda UMNO bahawa gesaan mereka agar Zahid bercuti sementara kes mahkamahnya selesai, akan disuarakan dalam mesyuarat itu.

Zahid kini berdepan dengan 45 pertuduhan mahkamah atas dakwaan pengubahan wang haram, pecah amanah jenayah dan menerima suapan melebihi RM114 juta.

Pada 25 Oktober lalu, Pemuda UMNO  menggesa Zahid bercuti daripada jawatan presiden agar beliau dapat memberi sepenuh perhatian terhadap kesnya.

Susulan gesaan tersebut, sayap itu menerima kecaman dan hentaman daripada segelintir pimpinan parti hanya kerana menyatakan pandangan yang berbeza.

Bagaimanapun Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, sayap yang diterajuinya akan terus lantang bersuara tanpa gusar termasuk kepada pucuk kepimpinan kerana era ‘Yes Man’ Pemuda sudah berakhir.

“Era Pemuda ‘YES MAN’ sudah berakhir. Pemuda akan terus lantang dan berani bersuara tanpa gusar termasuk kepada pucuk kepimpinan namun masih dalam kerangka adab dan berakhlak,” kata Asyraf menerusi Twitter minggu lalu.

Zahid bagaimanapun menegaskan beliau akan terus menjalankan tugas sebagai presiden sehingga tamat penggal pemilihan. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.