Berang Kena Kritik, Khairy Mahu Pecat Lokman Jika Jadi Presiden UMNO

KUALA LUMPUR – Gara-gara berang dikritik oleh Datuk Lokman Noor Adam, Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin Abu Bakar meluahkan hasrat mahu memecat Lokman sekiranya beliau berpeluang menjadi Presiden parti berkenaan.

Khairy memberi reaksi tersebut susulan kritikan Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu yang menyifatkan Khairy ‘meroyan seperti orang datang bulan’ susulan tindakan Khairy yang menempelak Datuk Seri Najib Tun Razak semalam.

Memetik laporan BH, Khairy berkata, “lebih baik anda berdoa saya tidak menjadi Presiden UMNO. Perkara pertama yang saya akan lakukan adalah memecat anda kerana mempunyai IQ yang rendah”.

Khairy semalam menyanggah kenyataan Najib yang menegaskan punca utama kekalahan BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu disebabkan fitnah dan janji palsu Pakatan Harapan (PH).

Ahli Parlimen Rembau itu sebaliknya mendakwa kekalahan BN tewas akibat isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Lokman dalam kenyataannya sebelum ini berkata beliau tidak pasti apakah masalah Khairy yang meroyan seperti orang datang bulan apabila mengaitkan punca kekalahan BN hanyalah kerana 1MDB.

“Tapi apa yang pasti, jika beliau meneruskan sikap menuding jari secara berterusan, saya rasa beliau boleh berhenti bermimpi untuk menjadi Presiden UMNO.

“Sepatutnya, selaku bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy kena menilai sama ada aktiviti menjadi model sambilan di Majalah Maskulin, hobi berselfie dan kepakaran memilih warna stokin yang betul, telah berjaya menarik minat orang muda untuk menyokong BN,” kata Lokman lagi.

Lokman turut mengulas beberapa siri fitnah dihadapi Khairy yang kesannya turut menjejaskan BN.

“Khairy sendiri terpalit dengan fitnah penyelewengan RM100 juta ringgit KBS, fitnah kononnya beliau mempunyai hubungan dengan Maya Karin, fitnah beliau ambil ice, fitnah pengagihan projek membina gelanggang futsal kepada kroninya.

“Fitnah berhubung “1 Stop Visa Center” yang melibatkan seseorang yang dikatakan merupakan proksinya dan pelbagai fitnah lain yang melibatkan hubungan beliau dengan pihak Singapura.

“Adakah semua fitnah-fitnah yang melibatkan dirinya ini langsung tidak mengakibatkan BN hilang walaupun 1 undi,” ujar Lokman lagi. – SuaraTV

One thought on “Berang Kena Kritik, Khairy Mahu Pecat Lokman Jika Jadi Presiden UMNO

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.