Ahli PKR Lapor Polis Tak Puas Hati Waktu Pengundian Cabang Pensiangan Dipanjangkan

SHAH ALAM – Satu laporan polis dibuat oleh ahli PKR susulan tidak berpuas hati dengan waktu pengundian di cabang Pensiangan, Sabah dilanjutkan melebihi jam 5.00 petang hari ini.

Laporan polis itu kini tersebar di media sosial.

Dalam laporan itu, pengadu menyatakan beliau tidak berpuas hati apabila waktu pengundian pemilihan PKR di cabang tersebut dipanjangkan melebihi tempoh yang telah ditetapkan Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP).

Gambar laporan polis itu turut dikongsi penasihat undang-undang PKR, Latheefa Koya yang memuatnaik di laman sosial Facebook beliau.  

“Whoa! Kenapa waktu undi hanya di Cabang Pensiangan dipanjangkan lebih dari pukul 5:00 petang? Nak bagi sapa menang?,” tulis Latheefa.

Terdahulu, media melaporkan pemilihan PKR Sabah bagi cabang Pensiangan di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Nabawan yang berlangsung hari ini didakwa tertangguh selama empat jam berikutan masalah teknikal.

Difahamkan, hanya 1,500 daripada 5,000 ahli cabang Pensiangan yang hadir di pusat pemilihan itu sempat mengundi menggunakan kaedah e-undi sebelum talian telefon dan internet terputus.

Masalah teknikal tersebut dipercayai berpunca daripada kerosakan dua kabel fibre telekomunikasi di sekitar dewan pengundian terbabit.

Bagaimanapun, Pengerusi JPP, Datuk Rashid Din menepis dakwaan bahawa proses pengundian tertangguh lebih kurang empat jam.

“Benar, terdapat masalah teknikal melibatkan talian telefon dan internet tetapi, perkara ini hanya berlaku kurang dalam tempoh sejam.

“Selepas dibaiki proses pemilihan menggunakan e-undi berjalan seperti biasa,” petik kata beliau. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.