Uqasha, Hefny Bakal Bertunang

KUALA LUMPUR: Pelakon sensasi, Uqasha Senrose, 25, memaklumkan beliau bakal bertunang dengan Hefny Sahad selepas lebih setahun menjalin hubungan cinta.

Bagaimanapun, kata aktres jelita itu, beliau belum dapat berkongsi tarikh majlis bahagianya bersama umum.

“Sebelum ini, saya tidak pernah mengaku secara terbuka mengenai hubungan saya dengan mana-mana lelaki, walaupun kami memang bercinta.

“Namun, kali ini saya berani membuat pengakuan saya dan Hefny memang pasangan kekasih. Kami serius dalam hubungan ini,” katanya ketika ditemui BH Online pada majlis Anugerah Skrin 2017, di sini, malam ini.

Uqasha atau nama sebenarnya Nik Zaris Uqasha Nik Sen berkata, berat badannya yang bertambah 13 kilogram menjadi bukti kebahagiaannya saat ini.

Bersama pengakuan itu, Uqasha turut menafikan dakwaan kononnya beliau kembali menyulam cinta dengan bekas kekasihnya, Pekin Ibrahim, seperti yang tersebar di laman sosial.

Pelakon yang menyerlah menerusi drama rantaian Hero Seorang Cinderella itu berkata, cerita berkenaan tidak berasas sama sekali, meskipun mengakui kini sedang berlakon dengan pelakon terbabit.

Hefny, 30, pula berkata, mereka memang dalam perancangan untuk membawa perhubungan itu ke fasa lebih serius.

“Insya-Allah, doakan yang terbaik buat kami,” kata pengacara dan pelakon itu sambil menguntumkan senyuman penuh makna.-Bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.