Siti Saleha Tunggu Tahun Baharu Untuk Aktif Semula

KUALA LUMPUR: Sibuk dengan majlis kahwin hinggalah diijab kabul Julai lalu, Siti Saleha bagai ‘lesap’ daripada radar seni.

Tidak hairanlah, timbul cerita kononnya populariti isteri kepada pegawai kerajaan, Lutfi Azhar ini mula merudum.

Namun, Siti Saleha yang aktif berlakon sejak 2002, tidak mahu ambil pusing spekulasi nakal itu. Sebaliknya, dia percaya rezeki dalam bidang lakonan masih ada.

“Alhamdulillah, masih ada penerbit dan rakan produksi yang menghubungi saya. Malah, ada produksi yang sudah lama dikenali, ‘mengikat’ saya untuk tiga projek seni.

“Telefon saya masih berdering dengan pemanggil membuat tawaran berlakon. Saya masih meneruskan survival dalam bidang lakonan seperti biasa,” katanya kepada BH Online.

Siti Saleha berkata, sebelum berkahwin, dia ada ditawarkan berlakon namun terpaksa ditolak.

“Selepas berkahwin, saya sempat menyiapkan sebuah siri mini Mandatori terbitan Astro. Insya-Allah, saya akan kembali menghangatkan pentas lakonan tahun depan,” katanya.

Siti Saleha mengaku beberapa bulan sebelum hari pernikahannya, akhir Julai lalu, dia sibuk menguruskan majlis perkahwinan sehingga tidak dapat berlakon.

“Namun, sekarang terbalik pula. Saya banyak terbabit dalam kerja amal dan menghadiri pelbagai acara bersama suami.

“Selepas berkahwin memang perlahan sedikit momentun seni. Namun, semua itu ada hikmah berguna kerana saya dapat meluangkan masa dengan suami,” katanya.

Siti Saleha berkata, dia menggunakan masa terluang untuk meningkatkan skil memasak termasuk membuat kek dan manisan untuk suami.

Tambah adik kepada Sam iaitu vokalis kumpulan Bunkface ini, dia memanfaatkan media sosial untuk berinteraksi dengan peminat sejak dirinya tidak sibuk dengan komitmen seni.

“Laman sosial adalah platform mendekatkan saya dengan peminat. Kalau wajah saya tiada di kaca televisyen (TV) atau layar perak, mereka boleh lihat saya di laman sosial,” katanya.

Siti Saleha turut terbabit dengan program amal bersama perkumpulan Penyelidikan Kanser Malaysia (CRM) dan label fesyen, Poplook di Bangsar, baru-baru ini. Orang ramai boleh melayari www.poplook.com untuk membeli koleksi fesyen sambil menderma.-Bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.