Selepas Bebas Dengan Jaminan, ‘Datuk Seri’ Ditahan Semula

KUALA LUMPUR – Selepas dibebaskan setelah membayar wang jaminan bagi pertuduhan kes menyerang dan mencederakan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) semalam, ahli perniagaan yang mendakwa dirinya “Datuk Seri” ditahan semula polis berhubung kes dadah.

Liow Soon Hee, 29, ditahan semula sepasukan polis narkotik dari Ibu Pejabat Daerah (IPD) Dang Wangi, di Mahkamah Sesyen Ampang sejurus membayar wang jaminan berjumlah RM17,000 bagi 4 pertuduhan menyebabkan kecederaan parah, menyerang dan mencederakan 3 anggota Rela iaitu Lee Weng Poh, 27, Melvin Cheong Mun Khai, 21, dan Leong Jun Jie, 21.

Selepas ditahan, Liow dibawa menaiki kenderaan MPV polis dan meninggalkan kompleks mahkamah pada 5 petang semalam untuk dibawa ke IPD Dang Wangi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, SAC Fadzil Ahmad ketika dihubungi mengesahkan penahanan semula Liow.

“Dia merupakan individu yang dikehendaki polis berhubung 1 kes jenayah lampau dadah,” katanya.

Terdahulu, Liow mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen itu bagi 4 pertuduhan berkenaan yang didakwa dilakukan di perkarangan Tokong Kou Ong Yah, Jalan Merdeka, Kampung Baru Ampang, di sini pada 6.30 pagi 27 Oktober lepas.

Dalam kejadian kira-kira 6.30 pagi, 3 anggota Rela itu masing-masing mengalami kecederaan di kepala, mata dan perut selepas mendakwa dipukul dan ditendang lelaki itu.

Mangsa mendakwa kejadian itu berlaku hanya kerana meminta “Datuk Seri” itu mengalihkan kenderaan jenis Toyota Vellfire yang diletakkan di tepi jalan besar kerana menghalang lalu lintas. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.