Bayi Umur Setahun Meninggal Dipercayai Didera

KUALA LUMPUR ― Seorang bayi perempuan berusia setahun meninggal dunia dipercayai didera di sebuah apartmen di Bukit Beruntung, Hulu Selangor dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Supt Lim Bak Phai berkata dalam kejadian kira-kira 12.40 tengah malam itu, ibu bapa mangsa mendakwa telah menjumpai kanak-kanak berkenaan tidak sedarkan diri dengan keadaan ditutupi kain selimut di dalam sebuah bilik sejurus pulang dari tempat kerja, lapor Bernama.

Menurutnya, ibu bapa mangsa telah membawa kanak-kanak itu ke sebuah klinik swasta berhampiran dan hasil pemeriksaan mendapati mangsa mengalami kecederaan teruk di bahagian kepala.

“Mangsa kemudian dirujuk ke Hospital Sungai Buloh dan disahkan meninggal dunia. Hasil bedah siasat mendapati mangsa mengalami lebam dan koyakan di kepala selain kecederaan jatuh dari buaian,” katanya  ketika dihubungi Bernama.

Lim berkata, susulan itu polis menahan ibu bapa mangsa berusia 21 dan 29 tahun pada 3 petang semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.