3 Lelaki Jatuh Dalam Tangki Minyak

RAWANG ― Operasi mencari dan menyelamat (SAR) tiga warga tempatan dipercayai terjatuh dalam sebuah tangki minyak diesel yang meletup di sebuah kilang simen di Jalan Kuang Garing, Rawang dekat sini, petang tadi, dijangka selesai hari ini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata ia susulan pasukan penyelamat terpaksa mengeluarkan lebih 725,000 liter minyak diesel dari tangki setinggi 4.26 meter itu bagi mengesan mangsa.

“Tujuh lori tangki digunakan dalam kerja-kerja mengeluarkan minyak berkenaan…ia akan mengambil masa yang agak lama untuk mengesan mangsa,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, lapor Bernama.

Menurutnya, ketika kejadian ketiga-tiga mangsa sedang melakukan kerja penyelenggaraan di atas tangki sebelum berlaku letupan yang mengakibatkan mereka terjatuh.

Dalam kejadian kira-kira 4 petang tadi, tiga lelaki tempatan berusia 28 hingga 49 tahun yang belum dikenal pasti identiti mereka, terjatuh selepas berlaku letupan di tangki minyak diesel itu.

Sementara itu, Lafarge dalam kenyataan berkata kebakaran tercetus di Loji Rawang syarikat itu antara 4.15 hingga 4.20 petang dan dipadamkan oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat sejurus tiba di tempat kejadian.

Syarikat itu berkata mereka menjalankan siasatan menyeluruh mengenai punca kejadian itu.

“Tiga orang masih hilang, anggota bomba dan pasukan loji bekerja sepanjang malam untuk mencari mangsa. Keluarga mangsa telah dimaklumkan mengenai insiden itu dan kami akan memaklumkan perkembangan terkini kepada mereka dan menghulurkan sokongan yang diperlukan.

“Doa dan ingatan kami sentiasa bersama-sama mereka,” kata syarikat simen itu dalam kenyataan di sini. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.