Hanya Jenaka, Bukan Sindir Kamal Adli, Kata Zizan

KUALA LUMPUR – Pelakon dan pelawak popular, Zizan Razak menjelaskan dia langsung tidak berniat untuk mempermainkan atau menyindir pelakon, Kamal Adli dalam persembahannya sewaktu pentas akhir Super Spontan All Stars yang berlangsung minggu lalu.

 

Jelas Zizan yang juga pengacara Akademi Fantasia 2015 itu lagi, persembahannya itu hanyalah satu bentuk jenaka dan permainan yang perlu dilakukannya dalam salah satu segmen yang ditampilkan dalam program realiti terbitan Astro itu.

 

Bahkan, secara terang-terangan Zizan menafikan dia mempunyai masalah dengan Kamal yang juga teman lelaki kepada bekas kekasihnya, Emma Maembong itu lagi.

 

“Persembahan saya dalam program itu bukannya menyindir Kamal dan saya merasakan apa yang saya lakukan pun tidak berlebih-lebihan. Ia hanyalah sekadar satu gurauan yang tidak perlu diambil serius.

 

“Malah, ada peserta lain pun melakukan perkara yang serupa dengan menyindir aksi dan perlakuan saya itu menerusi persembahan mereka. Saya sendiri tidak mempunyai masalah kerana menganggapnya sebagai jenaka.

 

“Secara tidak langsung, apa yang saya lakukan itu telah memberikan idea kepada peserta lain untuk melakukan perkara yang serupa,” jelas Zizan sewaktu ditemui The Rakyat Post sejurus selepas dirinya dijulang sebagai juara sulung program itu yang berlangsung, minggu lalu.

 

Dengan kemenangan itu, Zizan atau nama sebenarnya, Mohd. Razizan Abdul Razak berjaya membawa pulang wang tunai berjumlah RM150,000 beserta trofi sekaligus menewaskan saingan terdekatnya, Johan.

 

Menyentuh pula tentang tindakan Kamal yang melahirkan rasa kurang senang dengan persembahan Zizan yang mengaitkan namanya itu menerusi akaun rasmi Twitter Kamal, pelawak kelahiran Dungun, Terengganu itu enggan mengulas lanjut.

 

“Apa sahaja kenyataan yang dikeluarkan olehnya, itu adalah hak Kamal. Saya enggan masuk campur dan tidak mahu komen. Saya lebih selesa untuk tidak mencampur adukkan antara kerjaya dan peribadi. Selebihnya, saya serahkan kepada Allah SWT,” ujar Zizan ringkas.

 

Mengulas lanjut tentang kemenangannya yang dikatakan sudah diramal sedari awal program itu berlangsung, selebriti berusia 31 tahun itu menganggap semuanya rezeki daripada Yang Maha Esa.

 

superspontanM

 

Pun begitu, pelakon filem Polis Evo itu menangkis dakwaan dengan sekeras-kerasnya bahawa faktor penyumbang kepada kemenangannya itu adalah disebabkan lawak jenakanya yang mengaitkan nama Kamal.

 

“Saya lebih melihat kemenangan ini sebagai satu rahmat buat saya sekaligus membuktikan bahawa saya masih lagi diterima peminat dengan baik sehingga ke hari ini.

 

“Ia benar-benar membuatkan saya terharu dan perasaan yang saya alami cukup luar biasa sehingga saya sendiri tidak percaya mampu untuk ke peringkat akhir.

 

“Jika ditanya kepada saya, memang saya merasakan Johan yang akan menang kerana kedudukannya sentiasa di tangga teratas mendahului peserta lain. Kemenangan ini bukan hanya untuk saya seorang tetapi saya dedikasikannya juga untuk Jozan,” ujarnya yang tidak keberatan untuk menyertai Super Spontan All Stars tahun hadapan seandainya jadual kerjanya mengizinkannya berbuat demikian. – TheRakyatPost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.