Ekonomi Malaysia Di Landasan Tepat – Najib

KUALA LUMPUR – Malaysia berada di landasan tepat untuk mencatatkan pertumbuhan ekonomi antara 4.5 hingga 5.5 peratus pada tahun ini meskipun persekitaran ekonomi global masih lagi dalam keadaan tidak menentu.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, biarpun negara terkesan dengan peningkatan nilai dolar Amerika Syarikat (AS) dan penyusutan nilai yuan China, tetapi Malaysia mempunyai asas ekonomi yang kukuh serta mampan.

 

Katanya, negara juga kekal optimis walaupun harga minyak dunia dan komoditi lain mencatat penurunan, hasil pelbagai dasar ekonomi yang konkrit selain disokong kestabilan politik hingga meyakinkan pelabur asing untuk menanam modal.

 

“Mengambil kira jumlah kemasukan pelaburan langsung asing (FDI) untuk tempoh enam bulan pertama tahun ini dan dipadankan enam bulan kedua, Malaysia berada di landasan tepat,” katanya ketika berucap merasmikan Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) Ke-11 di sini semalam.

 

Ekonomi Malaysia berkembang enam peratus tahun lalu dengan sektor perkhidmatan menguasai 55 peratus daripada ekonomi negara manakala sektor pembuatan pula menyumbang 25 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

 

Yang turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Pengerusi Yayasan WIEF, Tun Musa Hitam.

 

Forum tiga hari yang bertema ‘Membangunkan Daya Tahan Untuk Pertumbuhan Saksama’ itu disertai sejumlah 3,069 peserta yang terdiri daripada pemimpin antarabangsa, menteri, penceramah dan perwakilan dari 98 negara di lima benua.

 

Selesai merasmikan forum, Najib kemudiannya bertindak sebagai moderator dan beliau mengulas ucapan beberapa pemimpin negara antaranya Presiden Bosnia, Dr. Dragan Covic serta Timbalan Perdana Menteri Azerbaijan, Yaqub Eyyu­bov.

 

Dalam pada itu, Perdana Menteri memberitahu, kerajaan menyasarkan sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) negara dapat menyumbang sebanyak 41 peratus kepada KDNK negara menjelang tahun 2020, iaitu peningkatan lima peratus berbanding ketika ini.

 

Beliau yang juga Menteri Kewa­ngan berkata, PKS merupakan salah satu aspek terpenting dalam usaha kerajaan melonjakkan pertumbuhan ekonomi negara dan sektor itu menyumbang sebanyak 18 peratus kepada nilai eksport.

 

“Untuk melangkah maju, kita perlu menyediakan peluang yang lebih besar kepada sektor PKS, bukan sahaja bagi memperluaskan tetapi untuk membolehkan mereka bersaing dalam pasaran lebih besar,” katanya.

 

Menyentuh mengenai WIEF pula, Perdana Menteri berkata, negara-negara Islam perlu memba­ng­unkan ekonomi dan perniagaan yang mempunyai daya tahan tinggi untuk memastikan kestabilan serta pertumbuhan ekonomi saksama.

 

Kewujudan ekonomi dan perniagaan yang berdaya tahan tinggi jelas Najib, cukup kritikal kepada mana-mana negara terutamanya ketika persekitaran ekonomi dunia berada dalam keadaan tidak menentu.

 

“Tiada siapa yang mampu melindungi diri sepenuhnya daripada menempuh ragam ketidaktentuan pasaran serta penyusutan nilai mata wang, sebab itu kita perlukan ekonomi dan perniagaan yang memiliki daya tahan tinggi,” katanya. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Do NOT follow this link or you will be banned from the site! Open

Close