Sultan Brunei Terima Ijazah Kehormat Pada Konvokesyen Ke-50 USM

Georgetown – Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah akan menerima ijazah kehormat sempena konvokesyen ke-50 Universiti Sains Malaysia (USM) yang dijadual berlangsung pada 5 hingga 9 Nov.

Sultan Brunei dianugerah Ijazah Kehormat Doktor Undang-Undang yang akan disampaikan Tuanku Canselor Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail.

Naib Canselor Datuk Omar Osman berkata selain Sultan Brunei, tokoh kepimpinan pendidikan Tan Sri Dr Abdul Rahman Arshad akan dianugerah Ijazah Kehormat Doktor Pendidikan sempena konvokesyen itu.

Beliau berkata pada tahun ini, USM menganugerahkan ijazah kepada 5,472 graduan dalam sembilan sidang konvokesyen, termasuk dua anumerta iaitu penganugerahan ijazah kepada anggota keluarga graduan yang meninggal dunia.

“Pada konvokesyen yang ke-50 ini juga, USM akan menganugerahkan gelaran Profesor Emeritus kepada bekas Naib Canselor Penyelidikan dan Pembangunan USM Datuk Jamjan Rajikan,” katanya dalam sidang akhbar di sini pada Selasa.

Omar berkata USM turut menganugerahkan Ijazah Sarjana Pentadbiran Awam kepada Raja Puan Muda Perlis Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Beliau berkata USM juga memberi anugerah khas kepada lima penuntut iaitu doktor perubatan Ng Suk Ning (Pingat Emas Canselor), graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Gunaan (Matematik) Nurul Syafiah Abd Naeeim dan graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer Soh Sin Siang, masing-masing menerima anugerah Pelajaran Diraja Majlis Raja-Raja Malaysia.

Dua lagi penerima ialah graduan Ijazah Sarjana Muda Sains (Perumahan, Bangunan dan Perancangan) Chong Kai Zen (Pingat Emas Naib Canselor kategori Orang Kurang Upaya cacat pendengaran) dan graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan Mohamad Haziq Al Amir Mohd (Pingat Emas Naib Canselor).

Tuanku Syed Sirajudin turut menyempurnakan majlis perasmian pameran kecemerlangan pendidikan, yang berlangsung di Kompleks Eureka dan Ekspo Konvokesyen 2014, di Dewan Pelenggam Cahaya, Kompleks Graha Seni.

Turut berangkat ke majlis itu Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.