Pelaksanaan CBP Tidak Akan Ditangguh – PM

Kuala Lumpur – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan bahawa pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) akan dilaksana mengikut jadual pada 1 April 2015.

Beliau juga menjangkakan bilangan syarikat yang berdaftar untuk CBP, yang kini sebanyak 120,000 akan meningkat kepada 200,000 menjelang akhir tahun ini.

Dalam ucaptama pada Persidangan Akauntan Antarabangsa Institut Akauntan Malaysia (MIA) di sini, Najib menggesa badan perakaunan profesional itu memastikan CBP dilaksanakan dengan jayanya.

Perdana Menteri berkata sebagai badan yang diurus dengan baik, dihormati dan kukuh, MIA mampu memain peranan penting dalam melaksanakan CBP.

“Saya menggesa MIA memberikan segala sokongan kepada perniagaan di Malaysia, dalam kedudukan anda yang unik dan peluang yang ada, untuk memastikan syarikat Malaysia berdaftar dan CBP sedia dilaksanakan.

“Kami yakin badan perakaunan profesional, bertindak atas kepentingan umum, mesti memain peranan aktif dan kumpulan industri serta kerajaan perlu bekerja bersama-sama dalam memastikan peraturan yang berkesan dan cekap,” katanya.

Najib sebelum itu menggesa penggiat industri, daripada syarikat multinasional sehinggalah pengawal atur, supaya bersama-sama kerajaan membangun dan mengukuhkan kedudukan selain kapasiti profesional perakaunan.

Beliau berkata Pelan Transformasi Ekonomi Negara, yang berhasrat menjadikan Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi menjelang 2020, menjangkakan permintaan kukuh untuk akauntan profesional.

“Kami sudah meneruskan dasar untuk membangunkan profesional dengan menerima pakai standard yang diterima antarabangsa dan menyokong akauntan dengan rangka kerja kawal aturan yang dibangunkan dengan baik,” katanya.

Sementara itu, Najib yang juga Menteri Kewangan, berkata firma perakaunan perlu mampu menangani cabaran ekonomi dunia yang saling berkait rapat.

“Di negara seperti Malaysia, dengan pertumbuhan dan reformasi bersasarnya membuka ekonomi, akauntan juga perlu menyediakan perniagaan kita untuk bersaing dalam pasaran global.

“Apabila syarikat kita meneroka keluar ke peringkat global, mereka akan memerlukan profesional kelas dunia,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.