Kenapa Anwar Tidak Buat Ujian DNA Di Luar Negara Kata Shafee

Kuala Lumpur – Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh menjalankan analisis DNA sendiri di negara lain dan menggunakannya untuk menafikan bukti mahkamah yang beliau meliwat bekas pembantunya, kata pihak pendakwaan dalam rayuan ahli politik itu terhadap sabitan kes liwatnya hari ini.

Ketua pembangkang itu boleh melakukan ujian itu berbanding hanya mendakwa berlaku pemalsuan dan mencemar bahan bukti, kata pendakwa raya Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah di Mahkamah Persekutuan yang mendengar rayuan Anwar.

Anwar boleh membuat ujian itu di Australia atau Eropah, kata Shafee, untuk menyangkal beliau adalah “Lelaki Y”.

Lelaki Y merujuk kepada sampel DNA yang ditemui dalam rectum pengadu, Mohd Saiful Bukhari Azlan, yang padan dengan profil DNA diambil daripada beberapa barang didakwa digunakan Anwar ketika bermalam dalam lokap polis.

Anwar enggan membenarkan sampelnya diambil oleh doktor kerajaan pada malam beliau ditahan untuk siasatan tuduhan meliwat, pada 2008. Peguamnya berkata, barangan dari lokap itu diambil secara tidak sah untuk mendapatkan DNA Anwar.

Kes pendakwaan berasaskan kepada Anwar memang meliwat Saiful berdasarkan kepada padanan antara Lelaki Y dan DNA Anwar.

Pihak pembelaan juga berkeras mengatakan sampel DNA Saiful yang digunakan dalam perbicaraan itu rosak dan tercemar kerana tidak dikendalikan dengan betul.

Shafee hari ini berkata, ahli kimia kerajaan yang memprofil DNA Saiful tidak pernah menafikan berlaku penurunan. Beliau malah mengaku beberapa bentuk penurunan berlaku sejak sampel itu diambil daripada Saiful, kira-kira 54 hingga 56 jam selepas tuduhan meliwat.

Ahli Kimia Dr Seah Lay Hong tidak pernah mendakwa sampel DNA itu “suci”, seperti dikatakan oleh pasukan pembelaan, dan beliau berkata “bacaannya sempurna”, hujah Shafee.

“Bacaannya 16 pointer. Semua 16 point kepada Anwar,” kata Shafee, membaca daripada kenyataan Dr Seah. Nombor itu merujuk kepada markah dalam profil DNA yang mengenal pasti sampel itu milik kepada seseorang.

“Selagi sampel boleh dibaca, itulah. Tidak perlu ujian untuk melihat darjah kemerosotan,” kata Shafee.

Protein DNA juga diketahui sebaagai lebih kuat berbanding protein lain mengikut kepada keadaan persekitaran,” katanya.

Beliau juga memetik satu kes rogol di Australia di mana DNA pelaku dikenal pasti daripada sampel sperma pada tuala mangsa berusia 13 tahun dan setengah tahun selepas jenayah itu berlaku.

Shafee berkata, pihak pembelaan salah faham bacaan jelas profil DNA bermakna ia perlu sampel “segar”.

Beliau menyangkal keterangan saksi pakar pembelaan, Dr Brian McDonald yang Shafee kata pakar itu tidak menjalankan ujian DNA itu sendiri.

McDonald dalam keterangannya berkata sampel yang ditunjukkan kepadanya dalam perbicaraan adalah “DNA suci”, yang membawa kepada hujahan pembelaan memandangkan ia berada dalam keadaan itu, ia tidak mungkin milik Saiful, yang sepatutnya berada dalam keadaan merosot.

Tetapi Shafee berhujah ia tidak jelas sama ada McDonald merujuk kepada eksibit atau bacaan profil DNA itu.

Shafee berkata, dalam mahkamah Australia, McDonald tidak dianggap pakar sebenar DNA.

Mahkamah Rayuan yang membatalkan pembebasan Anwar juga menganggap saksi itu sebagai “pakar yang hanya pandai berteori”.

Mahkamah di Australia meragui kredibiliti McDonalds dalam beberapa kes yang dibantunya pada 2007, 2008 dan 2014, kata Shafee.

Memetik dua kes, Shafee berhujah “bukti McDonald tidak pernah diterima” dan keterangannya “tidak boleh diharap”.

“Hakim terdahulu berkata beliau berada dalam bidang DNA, bukan mengamalkannya,” kata Shafee.

Shafee kemudian mempersoalkan kecekapan Dr Mohd Osman Abdul Hamid, doktor pertama yang memeriksa Saiful selepas tuduhan meliwat.

Beliau membangkitkan kemungkinan Dr Osman boleh memberitahu sampe DNA ketiga dan lelaki yang tidak dikenal pasti yang turut ditemui dalam rektum Saiful, selain milik Saiful sendiri dan Lelaki Y.

“Mungkinkah Dr Osman sendiri dalam kecuaiannya memasukkan DNAnya sendiri ke bahagian bawah rektum Saiful,” hujah Shafee.

Tidak pernah dipersoalkan ketika perbicaraan jika bahan dan peralatan yang digunakan untuk memeriksa Saiful adalah bersih, atau jika Dr Osman memakai sarung tangan ketika membuat pemeriksaan.

“Ini adalah kebarangkalian yang serius,” hujah Shafee.

Terdahulu, pihak pendakwaan mempersoalkan kegagalan pembela memanggil saksi alibi.

Shafee yang dilantik kerajaan untuk bertindak sebagai pendakwa raya berkata, pihak pembela menamakan 14 alibi, termasuk isteri Anwar dan ketua kakitangannya, tetapi tidak memanggil mereka kerana katanya diganggu polis.

Shafee berhujah, keputusan pihak pembelaan tidak memanggil saksi alibi itu adalah “sangat mengarut kerana alasan yang diberikan tidak kukuh”, merujuk kepada polis menyoal siasat saksi alibi.

Beliau berkata, ada kes undang-undang di mana kesimpulan bertentangan boleh dibuat jika pembelaan tidak memanggil saksi alibinya.

Shafee menyampaikan hujahan penggulungannya menentang rayuan Anwar untuk membatalkan sabitan bersalah meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 2008. Anwar dibebaskan selepas dibicarakan di Mahkamah Tinggi pada 2012, tetapi keputusan itu dibatalkan oleh Mahkamah Rayuan pada Mac, tahun ini.

Memetik kes undang-undang dari India dikenali sebagai “Pembunuhan Tandoori” membabitkan penggunaan ketuhar tandoori, Shafee berkata kegagalan menghasilkan alibi boleh menyebabkan adverse inference.

“(Wujud) hubungan perubahan yang penting dalam keadaan itu tetapi ia juga adalah bukti yang paling menyokong,” katanya.

Hujahnya, untuk pembela tidak memanggil alibi mereka selepas menamakan saksi berkenaan menunjukkan wujudnya adverse inference (fakta dan keterangan yang tidak berpihak kepada defendan serta jika ia dikemukakan ia akan menguat dan menyokong kes plaintif).

“Mereka tidak boleh sewenang-wenangnya berkata kami mengabaikan alibi kami,” kata Shafee.

Beliau kemudian menunjukkan kepada mahkamah 2 gambar berwarna diambil daripada rakaman CCTV Anwar dan Saiful tiba di pangsapuri di mana kejadian liwat berlaku pada 26 Jun, 2008. Anwar tiba dulu dan diikuti Saiful.

Shafee berkata, ketika Anwar mendakwa itu adalah “tuduhan paling teruk” dibuat terhadapnya, beliau sebenarnya tidak menafikan berada dalam bangunan pangsapuri itu.

Pihak pembelaan berkata, Anwar memang berada dalam bangunan itu tetapi di unit sebelah. Dua unit berkenaan dimiliki orang yang sama dan digunakan oleh Anwar untuk mesyuarat.

Shafee berkata, Anwar mempunyai “tugas sah untuk mematahkan kehadirannya di tempat dan waktu berkenaan” dalam pangsapuri di mana Saiful dikatakan diliwat, atau mahkamah boleh membuat adverse inference jika beliau gagal berbuat demikian.

Mahkamah Tinggi membebaskan Anwar tetapi disabitkan semula oleh Mahkamah Rayuan pada Mac lalu dan pelaksanaan hukuman penjara 5 tahun terhadapnya ditangguhkan hingga keputusan rayuannya di Mahkamah Persekutuan.

Ketua pembangkang itu didakwa meliwat Saiful, bekas pembantunya, di sebuah pangsapuri di Damansara pada 26 Jun, 2008.

Ini adalah dakwann meliwat yang kedua terhadap Anwar. Kali pertama pada 1998, selepas beliau disingkirkan daripada kerajaan sementara masih memegang jawatan timbalan perdana menteri dan menteri kewangan.

Beliau pada ketika itu didakwa meliwat bekas pemandunya, kemudian dibebaskan oleh Mahkamah Persekutuan pada 2004.

Pasukan pembelaan Anwar terdiri daripada 14 peguam diketuai Datuk Seri Gopal Sri Ram, hakim bersara Mahkamah Persekutuan.

Panel lima hakim diketua Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria mendengar rayuan itu, yang masuk hari ke-6 hari ini. – Malaysian Insider

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.