Bandar Kuching Bebas Aktiviti Judi Siber Haram

Kuching – Ketua Polis Daerah Kuching ACP Roslan Bek Ahmad hari ini mengisytiharkan Kuching kini bebas daripada aktiviti perjudian siber haram.

Katanya, semua premis perjudian haram di kawasan bandar raya Kuching Selatan dan Utara sudah ditutup berikutan serbuan dan tindakan yang diambil pihak polis secara besar-besaran selama seminggu lalu.

“Hari ini saya boleh beri jaminan kegiatan perjudian siber haram adalah sifar di bandar raya Kuching Selatan dan Utara tetapi kemungkinan ada mesin yang ada di dalam premis terbabit,” katanya dalam sidang media selepas perhimpunan bulanan Ibu Pejabat Polis daerah Kuching, hari ini.

Beliau berkata, polis tidak dapat merampas semua mesin perjudian terbabit disebabkan pihaknya memerlukan waran geledah daripada mahkamah untuk menggeledah dan merampas mesin berkenaan.

Katanya, pihak polis sedang bekerjasama dengan majlis berkuasa tempatan untuk mendapatkan waran geledah daripada mahkamah supaya tindakan menggeledah dan menyita mesin perjudian terbabit boleh dilakukan dengan segera.

Bagaimanapun, katanya polis kini memantau pusat perjudian terbabit untuk memastikan ia tidak beroperasi semula dan meminta kerjasama orang ramai supaya memaklumkan kepada polis sekiranya mereka mempunyai maklumat tentang premis yang beroperasi semula agar tindakan segera dapat dilakukan.

Roslan berkata, pihaknya membuat 175 serbuan dengan 247 tangkapan serta merampas 2,122 unit mesin perjudian siber dan wang rampasan sebanyak RM20,722.

Selain itu, katanya, polis Kuching turut membuat 11 tangkapan berkaitan perjudian semasa bola sepak Piala Dunia sepanjang Jun lalu.

Pada sidang media sama, Roslan turut memaklumkan polis daerah Kuching melakukan 1,319 tangkapan membabitkan pelbagai kesalahan jenayah berbanding 1,155 tangkapan yang dilakukan sepanjang tahun lepas.

Katanya, jumlah tangkapan itu tidak termasuk mereka yang ditangkap kerana kesalahan narkotik dan jenayah komersial.

Roslan berkata, kadar jenayah indeks di bandar raya ini turut menunjukkan penurunan sebanyak 17.41%.

Katanya, pada tahun lalu pihaknya merekodkan 2,286 kes bagi tempoh Januari hingga Oktober berbanding 1,888 kes bagi tempoh yang sama tahun ini.

“Secara keseluruhannya saya amat berpuas hati dengan penurunan kes yang dicatatkan, iaitu sebanyak 17.41 peratus walaupun KPI yang ditetapkan adalah lima peratus, tetapi sasaran kita adalah jenayah sifar,” katanya.

Sehubungan itu, Roslan menyatakan rasa kesal terhadap tanggapan segelintir pihak yang mengatakan kadar jenayah di bandar raya itu meningkat, sambil menyifatkan mereka sengaja membutakan mata sedangkan pelbagai usaha dilakukan pihak polis untuk memerangi jenayah.

Terdahulu Roslan menyampaikan pingat kenaikan pangkat dan surat penghargaan kepada 110 anggota polis berpangkat konstabel hingga ke sarjan serta surat penghargaan kepada empat individu yang membantu pihak polis membanteras jenayah.
– See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/kuching-kini-bebas-aktiviti-judi-siber-haram-kata-ketua-polis-kuching#sthash.1SHQf5Ry.dpuf

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.