6 Premis Judi Haram Degil Terus Beroperasi Di KL

Kuala Lumpur – Hasil serbuan bertali arus ke atas semua premis perjudian haram di ibu negara sejak bulan lalu, hanya enam premis yang masih berdegil meneruskan operasi.

Sepanjang 10 bulan tahun ini, polis telah menjalankan 10,666 serbuan dan 2,697 tangkapan, dalam usaha membanteras aktiviti perjudian haram di ibu negara.

Menurut Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Law Hong Soon, sebanyak 20,845 buah mesin judi dan wang tunai berjumlah RM193,576 telah dirampas, sepanjang tempoh itu.

“Hasilnya, daripada 105 premis yang diperiksa, hanya enam buah yang masih beroperasi, di mana lapan tangkapan telah dilakukan dan 16 buah mesin judi serta wang tunai bernilai RM955 dirampas,” tegasnya.

Terbaru, katanya, dalam pemeriksaan yang dilakukan malam semalam, ke atas premis yang dikatakan ada menjalankan aktiviti perjudian berinternet mendapati, kesemuanya telah ditutup.
Menurutnya, statistik penguatkuasaan terkini itu jelas menunjukkan peningkatan ketara berbanding tahun sebelumnya, di mana sepanjang 2013, hanya 7,561 serbuan dilakukan, dengan 1,304 tangkapan dibuat polis kontinjen Kuala Lumpur.

“Sebanyak 6,905 buah mesin perjudian serta RM89,809 wang tunai dirampas dalam tempoh terbabit yang menyaksikan peningkatan 40 peratus dari segi serbuan, tangkapan dan juga rampasan,” katanya dalam satu kenyataan, pada Isnin.

Untuk rekod, semua ketua polis daerah dan ketua polis balai dikehendaki membuat deklarasi, bagi memastikan tidak ada aktiviti perjudian tanpa lesen berlaku di daerah dan kawasan masing-masing.

“Pasukan pemantau dari Jabatan Integriti dan Pemantauan Standard Kontinjen Bukit Aman akan membuat pemeriksaan.

“Kegagalan mengambil tindakan ke atas premis perjudian yang masih beroperasi akan menyebabkan mereka diambil tindakan tatatertib atau ditukarkan dalam tempoh 24 jam,” tegasnya.

Tambah Law, semua ketua polis daerah dan ketua polis balai diberi tempoh sebulan untuk mengambil tindakan tegas, bagi memastikan semua premis mesin perjudian diserbu.

Ia sejajar arahan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar yang mahu Polis Kuala Lumpur melipatgandakan serbuan bagi membanteras aktiviti perjudian haram, mulai 27 Oktober lalu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.