KUALA LUMPUR: Minggu orientasi pelajar baharu di universiti di seluruh negara merupakan perkara wajib diadakan bagi membantu pelajar menyesuaikan diri dengan persekitaran dan kehidupan baharu di kampus.
Naib Yang Dipertua Interim Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) Muhammad Nor Azlan bin Yusof berkata, orientasi pelajar masih relevan bagi memberikan pendedahan awal berkenaan kehidupan di universiti sekaligus membantu para pelajar mempersiapkan diri dari segi akademik, sosial dan emosi.
Katanya lagi, terdapat pelbagai kemudahan yang disediakan di Universiti perlu diperkenalkan kepada mereka.
“Antaranya, pusat kesihatan dan unit psikologi universiti turut memperkenalkan perkhidmatan yang boleh membantu pelajar mengatasi tekanan semasa menyesuaikan diri di kampus.
“Bukan itu sahaja, minggu orientasi ini penting bagi memberikan peluang kepada para pelajar untuk berkenalan, membina hubungan dengan rakan baru yang mana pada akhirnya boleh menjadi teman kuliah hinggalah riadah,” katanya kepada Suara.TV.
Terdahulu, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menegaskan tiada keperluan untuk memansuhkan pelaksanaan minggu orientasi membabitkan mahasiswa baharu yang mendaftar masuk ke universiti awam (UA).
Jelasnya, minggu orientasi yang dilaksanakan di univesiti seluruh negara bertujuan memastikan mahasiswa dapat menyesuaikan diri dengan kehidupan di kampus.
Baru-baru ini tular video memaparkan situasi minggu orientasi di sebuah UA di Johor apabila beberapa individu bertengkar, sebelum ia bertukar menjadi satu kejutan atau digelar ‘prank’ untuk menyambut ulang tahun kelahiran seorang daripada fasilitator.
Susulan itu, orang ramai berpandangan pengisian program minggu orientasi terbabit seolah-olah berlebihan dan tidak sewajarnya berlaku.